Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Menteri Luar bidas delusi dan pembohongan Korea Utara
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 4:50 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini mengingatkan Duta Besar Korea Utara Kang Chol bahawaadalah penting untuk memperoleh keyakinan kerajaan Malaysia semasa berkhidmat di negara ini.

"Sebagai duta di Malaysia, beliau perlu sedar bahawa beliau perlu memperoleh keyakinan kerajaan Malaysia.

"Saya harap anda faham apa yang saya maksudkan dengan anda perlu memperoleh keyakinan kerajaan," kata Anifah selepas menyampaikan taklimat kepada pemberita berhubung lawatan negara Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia tidak lama lagi, di Putrajaya hari ini.

Merujuk kepada kes bunuh Kim Jong-nam, Anifah berkata polis sedang menyiasat kes itu dan mereka perlu diberi ruang untuk fokus sepenuhnya dalam mencari punca kematian dan mereka yang bertanggungjawab bagi pembunuhan itu.

Beliau berkata pada peringkat ini, Malaysia melihat adalah tidak perlu untuk mementingkan kenyataan Kang Chol (kanan) dan tuduhan dilemparkan terhadap kerajaan Malaysia.

"Seluruh dunia tahu bahawa penyiasatan dijalankan secara objektif, adil dan telus," kata Anifah.

Beliau berkata Kang Chol telah dimaklumkan tentang proses penyiasatan yang terlibat tetapi duta besar itu terus "mengalami delusi dan terus membuat pembohongan dan melemparkan tuduhan terhadap Kerajaan Malaysia".

Anifah menegaskan dasar luar Malaysia sentiasa berpaksikan mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara.

"Bagaimanapun, kedudukan hubungan baik ini perlu dibalas sewajarnya," katanya.

Anifah berkata sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab, Malaysia sentiasa menjalankan obligasi antarabangsanya mengikut undang-undang antarabangsa dan amalan diplomatik yang diterima pakai.

"Duta (Korea Utara) perlu faham dan sedar akan niat dan perasaan bukan sahaja kerajaan tetapi juga rakyat Malaysia," katanya.

Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 8 pagi 13 Februari untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila sejam kemudian dua wanita menghampirinya dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang telah disembur dengan cecair beracun.

Jong-nam telah meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dibawa ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Beliau datang ke Malaysia pada 6 Februari dan menggunakan pasport yang tertera nama Kim Chol.

- Bernama

Lihat Komen
ADS