Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembunuhan Kim: Pegawai Indonesia akan bertemu suspek rakyatnya
Diterbitkan:  Feb 25, 2017 10:31 AM
Dikemaskini: 2:35 AM

Diplomat Indonesia di Malaysia akan bertemu hari ini dengan suspek wanita rakyatnya yang sedang ditahan berkaitan dengan pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, kata Kementerian Luar Indonesia semalam.

Wanita Indonesia itu adalah salah seorang daripada tiga suspek yang ditahan berhubung pembunuhan Kim Jong-nam dengan menggunakan senjata kimia di di KLIA2 pada 13 Februari.

"Menteri Luar Indonesia telah mendapat pengesahan bahawa kedutaan dan peguam kami akan mendapat akses konsular (untuk bertemu suspek)," kata satu kenyataan kementerian itu.

"Akses konsular akan digunakan untuk mengesahkan secara fizikal kewarganegaraan suspek... dan mendapatkan maklumat awal bagi penyediaan bantuan guaman," kata kenyataan itu lagi.

Selaras dengan undang-undang Malaysia, pegawai Indonesia sebelum ini tidak dibenarkan menyoal suspek.

Wanita Indonesia itu, bersama seorang wanita Vietnam, didakwa telah membunuh Kim Jong-nam dengan menyapu mukanya dengan bahan yang dikenal pasti pihak berkuasa sebagai agen saraf VX.

VX diklasifikasikan oleh PBB sebagai senjata pemusnah besar-besaran dan merupakan ejen saraf yang paling kuat yang pernah dicipta.

Polis Malaysia sedang menyiasat sama ada bahan kimia itu dibawa masuk ke negara ini atau dihasilkan di sini.

Rakaman CCTV yang dikeluarkan awal minggu ini oleh stesen televisyen Jepun, Fuji TV, dilihat menunjukkan dua wanita menghampiri mangsa ketika dia hendak menaiki penerbangan ke Macau.

Mereka menyasarkan mukanya dan kemudian segera beredar ke arah yang berbeza. Klip itu kemudian menunjukkan mangsa meminta bantuan perubatan kepada pegawai lapangan terbang itu.

Anggota keluarga wanita Indonesia itu telah berkata bahawa dia percaya menjadi sebahagian daripada satu program 'prank' TV.

Tetapi polis Malaysia berkata dua wanita telah berlatih untuk melakukan serangan itu sebelum melakukannya dan telah diarahkan untuk membasuh tangan mereka selepas itu.

Polis turut menahan seorang wanita Vietnam dan seorang lelaki warga Korea Utara. Tujuh lagi warga Korea Utara, termasuk seorang diplomat di kedutaan mereka di Kuala Lumpur, juga dikehendaki.

[Baca berita penuh]

- Reuters

Lihat Komen
ADS