Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akrabnya Najib, Raja Salman
Diterbitkan:  Feb 27, 2017 5:49 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuktikan keakraban beliau dengan pemimpin tertinggi Arab Saudi hari ini.

Melalui Twitter, Najib memuat naik gambar selfie beliau bersama Raja Salman Abdulaziz al-Saud di dalam sebuah kenderaan.

Bagaimanapun tiada butiran lain dinyatakan.

"Selfie saya dengan Raja Salman, Custodian of the two Holy Mosques (penjaga dua tanah suci)! Persahabatan yang amat akrab," kata Najib di akaun Twitter rasmi beliau.

Akaun itu diikuti lebih 3.3 juta pengguna Twitter.

Kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan bersejarah di Putrajaya petang ini,

Menurut laporan Bernama Raja Saudi tiba di Seri Perdana kira-kira jam pukul 2.20 petang dan mereka mengadakan perbicangan berkenaan di kediaman rasmi perdana menteri berkenaan.

 

 

Najib dan Raja Salman mengadakan pertemuan empat mata sebelum kedua-dua mereka menghadiri mesyuarat dengan delegasi Arab Saudi dan Malaysia.

Baginda dan Najib akan menyaksikan penandatanganan beberapa memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang seperti sains dan pendidikan, ekonomi, pekerja dan sumber manusia serta pertukaran berita.

Malam tadi Najib mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi meraikan Raja Salman pada majlis makan malam di Istana Negara.

Raja Salman tiba di Malaysia untuk lawatan negara selama empat hari mulai semalam atas undangan Sultan Muhammad V.

Ia bukanlah kali pertama perdana menteri melakukan selfie dengan tokoh terkenal dunia.

Sebelum ini beliau juga pernah melakukan selfie dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; presiden ke-44 AS, Barack Obama; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; presiden ke-24 Perancis, Francois Hollande dan penyanyi terkenal, Usher.

Raja Salman, 81, pernah berkhidmat sebagai gabenor Riyadh selama 48 tahun sehingga 2011 apabila beliau dilantik sebagai menteri pertahanan Arab Saudi.

Setahun kemudian beliau diangkat sebagai putera mahkota ekoran kemangkatan abangnya, Raja Nayef Abdulaziz al-Saud.

Raja Salman kemudian ditabal sebagai pemimpin Arab Saudi pada 23 Januari 2015 bagi mengisi kekosongan jawatan itu selepas kemangkatan abang tirinya, Raja Abdullah Abdulaziz al-Saud.

Lihat Komen
ADS