Rayuan hasutan bekas aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim ditangguhkan pada saat akhir, hari ini, berikutan bantahan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang memohon hakim yang mengetuai panel tiga anggota itu menarik diri.
Ini adalah kali kedua rayuannya ditangguhkan.
DPP Faiza Mohd Salleh memohon supaya Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menarik diri atas alasan bahawa beliau juga mengetuai panel lain yang membuat keputusan mengenai kes Mohd Safwan Anang.
"Oleh kerana ia melibatkan ceramah dan tempat sama, pihak pendakwaan bimbang dengan keputusan rayuan ini," kata Faiza.
Peguam kanan Gurdial Singh Nijar membantah permohonan itu kerana pada sesi lalu, tidak ada petunjuk bahawa pihak pendakwaan akan berbuat demikian.
"Tambahan pula, kita hanya akan menggunakan satu isu mengenai Safwan, kerana isu lain yang akan dibawa adalah mengenai Seksyen 3 Akta Hasutan 1948.
"Isu lain mengenai perkara itu perkara baru dan tidak ada bukti yang menunjukkan Yang Arif (Hakim Mohtarudin) boleh membuat keputusan yang memihak kepada kita, atau sebaliknya," katanya.
Faiza mengulangi kebimbangan pihak pendakwaan memandangkan Hakim Mohtarudin adalah dalam panel yang memutuskan kes Safwan.
Hakim Mohtarudin kemudian memutuskan untuk menarik diri daripada menggangotai panel itu mengarahkan agar satu panel baru ditubuhkan untuk mendengar rayuan ini.
Aktivis pelajar berusia 28 tahun itu didakwa pada 23 Mei 2013 atas tuduhan pada satu forum 13 Mei tahun yang sama, menggesa kerajaan yang dipilih dijatuhkan,
Pada 19 September 2014, Mahkamah Sesyen mendapati beliau bersalah di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan.
Adam gagal mengetepikan sabitan hasutan pada Februari tahun lalu, tetapi Mahkamah Tinggi memutuskan beliau hanya perlu membayar RM5,000 denda berbanding setahun penjara.
