Malaysiakini
BERITA

3,474 peniaga di K'tan diburu tak jelas kutipan GST

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Mac 2017, 7:45 pagi

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memburu 3,474 peniaga berdaftar yang masih gagal menjelaskan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM6 juta di Kelantan.

Pengarahnya Mohd Nasir Yusof berkata peniaga berkenaan diburu menerusi Operasi Strategi Lautan Biru Kastam (CBOS) 3.0 bermula hari ini hingga 31 Disember tahun ini.

"Seramai 30 pegawai Bahagian GST, pematuhan serta penguatkuasaan akan ditugaskan membuat audit verifikasi ke atas peniaga berdaftar dari sektor pembinaan dan hartanah, pengusaha restoran, peruncit serta kedai perkakasan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran CBOS 3.0 di Pejabat JKDM Padang Bongor di Kota Bharu hari ini.

Mengikut Operasi CBOS 3.0 itu, JKDM akan memberi tempoh 30 hari kepada pemilik syarikat berdaftar supaya melakukan pindaan Penyata GST bermula daripada tarikh pemeriksaan sekiranya verifikasi audit mendapati bayaran yang dibuat peniaga adalah rendah berbanding
jumlah pendapatan harian mereka.

"Jabatan tidak teragak-agak mengambil tindakan mahkamah dan mengenakan penalti sehingga 40 peratus daripada amaun yang kurang bayar terhadap syarikat berdaftar yang gagal mematuhi perundangan jabatan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nasir berkata antara kesalahan yang sering dilakukan peniaga adalah tidak mengeluarkan penyata, mengeluarkan penyata tanpa bayaran, membuat tuntutan melebihi sepatutnya dan lain-lain.

Beliau berkata peniaga diberi kuasa mengutip cukai tetapi dalam masa yang sama mereka perlulah bertanggungjawab dengan menyalurkannya semula kepada kerajaan.

"Apa yang mereka kutip itu adalah wang rakyat dan sepatutnya disalurkan pula kepada negara untuk kepentingan rakyat semula. Sepatutnya mereka menjadi 'wira ekonomi negara' dengan berbuat demikian, " katanya.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.