Khutbah selar sikap negatif pejuang hak wanita

   

Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyelar sikap sesetengah pejuang kesetaraan gender yang mendakwa Islam tidak mempedulikan nasib golongan wanita.

"Mereka telah membangkitkan pelbagai isu 'panas' mengenai hak keadilan dan kebebasan untuk wanita seperti soal kebajikan dan status wanita, peranan dari sudut spiritual, hak dalam berpolitik, persamaan jantina, hak perundangan, keganasan, pemakaian hijab dan kedudukan wanita dalam al-Quran.

"Pada dasarnya pandangan ini dipengaruhi oleh propaganda untuk memburuk-burukkan Islam atas agenda tertentu," kata mimbar dalam khutbah yang bertajuk "Islam memerdekakan wanita".

Teks khutbah hari ini juga berkata tindakan keji itu mencacatkan identiti Islam sebagai agama yang menyanjung hak-hak manusia.

Bagaimanapun, kata mimbar, masih ada cerdik pandai yang menggunakan isu itu dengan mengatakan Islam tidak relevan untuk melindungi nasib wanita.

“Justeru, program Penerapan Nilai Murni Islam secara berterusan perlu dilaksanakan secara proaktif dengan landasan ilmu yang betul dan mengawal nafsu yang sentiasa menghasut manusia ke arah kemusnahan nilai dan etika,” menurut teks khutbah lagi.

Khutbah Jakim itu juga mengingatkan bahawa Islam adalah agama kemerdekaan kaum wanita dan meletakkannya setaraf dengan lelaki.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda