Bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, berkata kedudukan orang Melayu dan bumiputera akan mengalami kesan besar jika Rukun Negara dijadikan mukadimah Perlembagaan Persekutuan.
Menyampaikan ucapannya di majlis meja bulat anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) di Kuala Lumpur hari ini, Abdul Hamid berkata, beliau tidak bersetuju Rukun Negara dijadikan sebahagian daripada perlembagaan kerana ia digual untuk maksud berbeza.
"Saya percaya ia akan disalahgunakan untuk menghakis hak dan kepentingan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta kedudukan Islam (dan bukannya) mengatasi masalah yang kononnya disebabkan oleh ketiadaan mukadimah itu.
"Biarlah perlembagaan kekal sebagai perlembagaan dan Rukun Negara kekal sebagai Rukun Negara.
"Yang penting ialah semua rakyat Malaysia menumpukan taat setia mereka kepada Malaysia dan menghormati peruntukan perlembagaan dan hak-hak yang dipersetujui dan termaktub di dalamnya," katanya melalui kenyataan dibacakan oleh Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali.
Januari lalu sekumpulan pemimpin pertubuhan sivil mencadangkan supaya Rukun Negara dijadikan mukadimah perlembagaan sebagai jawapan kepada keadaan negara ini yang digambarkan sebagai "tidur".
Ia turut mendapat sokongan parti politik.
Sementara itu Abdul Hamid juga menyatakan kebimbangannya jika Rukun Negara diterima sebagai mukadimah perlembagaan, ia akan menyebabkan "terbit" penghakiman yang mungkin bercanggah atau tidak selaras dengan tujuan peruntukan sedia ada, walaupun ada peruntukan khusus mengenainnya.
Memberikan contoh, Abdul Hamid berkata, mungkin akan ada pihak berhujah di mahkamah bahawa kemasukan pelajar bumiputera saja di Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah suatu diskriminasi yang menghalang perpaduan kerana Rukun Negara yang bertujuan untuk mewujudkan perpaduan di negara ini.
"Apabila Rukun Negara menjadi mukadimah perlembagaan, semua peraturan dan tindakan eksekutif yang memberi keutamaan kepada Melayu dan bumiputera akan menjadi tidak berperlembagaan dan tidak sah," katanya.
