Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Daftar automatik, bukan bagi tiket kapal terbang percuma'
Diterbitkan:  Mar 6, 2017 2:57 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Kumpulan pendesak reformasi pilihan raya BERSIH membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kempen pendaftaran pengundi membabitkan hadiah tiket penerbangan percuma.

Dalam satu kenyataan hari ini, BERSIH mempersoalkan kempen dijalankan SPR bagi menarik orang ramai mendaftar sebagai pengundi dan bukannya melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik.

BERSIH berkata, sistem itu boleh dilakukan menerusi rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengatasi pelbagai isu seperti alamat pengundi tidak lengkap, nama bertindih, nama pengundi yang telah mati dalam senarai dan sebagainya.

"SPR masih belum melibatkan diri bersama BERSIH berhubung isu ini yang telah kita desak sejak penubuhan kami," kata kumpulan itu.

Menurut Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, sejumlah 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum berdaftar sebagai pengundi setakat Februari lepas.

SPR kini mengambil langkah bekerjasama dengan pihak swasta, antaranya Air Asia X Berhad bagi menawarkan 1,100 tiket penerbangan percuma ke beberapa destinasi luar negara bagi mereka yang berdaftar sebagai pengundi.

Kempen itu akan berlangsung selama tiga bulan.

Mengulas lanjut, BERSIH mendakwa SPR cuba bermain tarik tali apabila membatalkan sesetengah pendaftaran pengundi dan menghalang parti-parti politik mendaftarkan pengundi baru sejak pilihan raya umum lepas.

"Mereka mebuat halangan dan sekatan untuk mendaftarkan pengundi baru, tetapi kini mereka memberi ganjaran untuk memujuk lebih ramai mendaftar sebagai pengundi," katanya.

BERSIH berkata, SPR sepatutnya menyokong semua kempen pendaftaran pengundi, tidak mengira siapa yang menganjurkannya termasuk "Kempen U" BERSIH, jika mereka benar-benar ikhlas.

Malah, BERSIH telah menulis surat kepada SPR minggu lalu bagi meminta sokongan dan sumber terhadap kempen mereka, termasuk meluluskan sekurang-kurangnya 20 pegawai pilihan raya (ARO) dari BERSIH bagi mempercepatkan pendaftaran pengundi.

"Kami masih belum mendapat jawapan daripada mereka," katanya.

 

Lihat Komen
ADS