Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Lagi rungutan pemberian BR1M cara manual
Diterbitkan:  Mar 6, 2017 5:32 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Pemimpin-pemimpin pembangkang di Perak menyuarakan bantahan mereka terhadap pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) melalui baucar serahan tangan.

Mereka mendakwa terdapat agenda untuk memanipulasi bantuan itu untuk kepentingan politik.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang Chua Yee Ling berkata, pusat khidmat beliau menerima sekurang-kurangnya 20 aduan, kebanyakannya melibatkan warga emas.

"Mereka mengikut permintaan kerajaan dan membuka akaun bank untuk menyenangkan mereka ambil bantuan (tahun lalu).

“Tetapi sekarang, kerajaan cakap perlu hadir majlis khas baru boleh ambil baucar bantuan.

"Ini memperbodohkan rakyat," kata wakil PKR itu kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, kontroversi sama berlaku di Perlis sehingga terdapat bantahan meluas di Internet. Bagaimanapun, kerajaan negeri menafikan terdapat penerima yang pengsan ketika pengedaran dibuat.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak Muhammad Faeez Azahar berkata, BN dilihat cuba mengambil kesempatan dengan membuat majlis khas.

"Di Batu Gajah, demi mendapat 'manfaat', satu majlis diadakan untuk menyerahkan baucar bantuan tersebut. Majlis tersebut bertujuan menyerahkan baucar BR1M melalui kepimpinan BN.

"Ribuan penerima BR1M termasuk golongan kurang upaya dan warga emas terpaksa beratur panjang, bersesak-sesak demi mendapatkan baucar tersebut,” katanya.

Selain itu, pembantu khas kepada ADUN Sitiawan Sky Ngo pula berkata, pusat khidmat ADUN Sitiawan DAP menerima 100 aduan dalam masa tiga hari sahaja bermula 1 hingga 3 Mac lalu.

"Mereka tidak mahu beratur dan kemudian tukar kepada tunai di Bank Simpanan Nasional. Ini membazirkan masa mereka," kata Sky.

Menurut notis pemberitahuan, penerima BR1M dikatakan perlu berkumpul di balai raya atau di pusat khidmat rakyat BN di kawasan masing-masing.

Ketua Pemuda MCA Lumut Ting Tai Fook pula mendakwa pemberian BR1M secara manual itu dibuat atas permintaan setiausaha kerajaan Perak.

"Saya bantah penyampaian baucer kerana ia amat tidak sesuai.

"Kebanyakan negeri lain (bayaran) adalah terus kredit ke dalam akaun. Pemberian baucer menyebabkan penerima perlu beratur, minta cuti, langsung hilang produktiviti," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata tidak jelas kenapa permintaan itu dibuat dan berharap Lembaga Hasil Dalam Negeri  (LHDN) dapat memasukkan terus ke dalam akaun untuk bayaran selepas itu.

"Saya minta LHDN terus buat pembayaran ke dalam akaun bagi pemohon yang mengisi maklumat akaun bank. Buat kerja yang menyenangkan semua, jangan memudaratkan rakyat," tambahnya.

Exco Perak Datuk Mah Hang Soon enggan mengulas mengenai perkara itu manakala Menteri Besar Perak Dato Seri Zambry Kadir tidak membalas pertanyaan Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS