Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN l Kami G25 dengan perasaan bimbang merayu, dan berhasrat mendapatkan persetujuan YB agar tidak menyokong / membatalkan RUU355 yang kini akan dibahaskan di sidang Parlimen.

Kami berharap YB mengimbas kembali dan perhatikan yang pindaan kepada perlaksanaan undang-undang syariah harus dilakukan berpaksikan kerangka Perlembagaan Persekutuan demi menegakkannya.

Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan yang status Perlembagaan Persekutuan, undang-undang persekutuan dan mahkamah sivil adalah lebih tinggi daripada enakmen undang-undang syariah negeri, dan demi memastikan yang hanya wujud satu sistem perundangan untuk semua.

Bidang kuasa mahkamah syariah terhad dalam Perlembagaan Persekutuan

Termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan Senarai Negeri Item 1, bidang kuasa mahkamah syariah ke atas penghukuman kesalahan ‘tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan;’

Tujuan peruntukkan ini ialah agar Parlimen dapat menjalankan fungsi pengawasan dan pengawalannya dalam penghukuman kesalahan, termasuk tatacara penghukuman yang dirangka oleh enakmen negeri agar Badan Perundangan Negeri tidak terbuka untuk memperuntukkan penghukuman kesalahan serta menjatuhkan hukuman.

RUU355 meninggikan taraf mahkamah syariah dan mencelarukan penguatkuasaan

Hasrat untuk menjadikan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil amat membimbangkan dan pasti mengejutkan masyarakat berbilang kaum akan apa lagi akan
terjadi selanjutnya kepada sistem perundangan negara.

Sistem penghakiman sekular yang selari dengan sistem syariah bukan saja melanggar Perlembagaan, bahkan pasti timbul kecelaruan dalam penguatkuasaan undang-undang dan perintah-perintah tetap.

RUU 355 menjauhkan pelabur perniagaan, implikasi ekonomi berisiko tinggi

Perkembangan ekonomi di Malaysia yang mampu berkembang maju dalam jangka masa pendek amat membanggakan, di kalangan negara-negara membangun. Sistem perundangan dan pengurusan yang baik adalah ciri utama yang boleh menarik pelabur asing dan dalam negeri untuk perniagaan.

Ia merupakan sistem yang telah menjadi kebiasaan mereka dan mereka tahu tatacara seumpama di negeri mereka juga. Ia memudahkan peralihan maklumat dan teknologi dan Malaysia dapat menerima manfaat untuk mengembangkan kemahiran serta daya saing di persada antarabangsa.

Negara pasti mengambil risiko besar dengan pelabur perniagaan asing dan domestik jika negara melangkah ke sistem perundangan yang bercirikan Islamik radikal yang dipandang keras dan tidak progresif sehala dengan nilai-nilai dan kehidupan moden.

Selangkah Perlaksanaan Hudud

Hujah-hujah penyokong PAS tegas menafikan yang pindaan kepada RUU355 itu bertujuan melaksanakan undang-undang jenayah Syariah, iaitu Hudud. Rakyat curiga penafian ini kerana Kelantan di bawah kerajaan PAS sudah pun meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015.

Rang Undang-Undang 2015 Negeri Kelantan ini memperuntukkan hukuman hudud untuk kesalahan-kesalahan seperti zina, mencuri, merompak, liwat, minum arak dan murtad.

Tetapi, Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1995 tidak membenarkan mahkamah syariah untuk menjatuhkan hukuman-hukuman hudud.

Utamakan urus tadbir Kerajaan dan institusi awam dengan baik, lebih bermanfaat

Pemerintahan yang baik, pemimpin yang jujur serta bertanggungjawab dan bersikap mengambil berat atas masalah orang-orang miskin dan kurang bernasib baik harus diutamakan untuk kemajuan ekonomi dan sosial negara.

Ini lebih Islamik daripada perlaksanaan hudud. Suasana di Malaysia lebih membanggakan berbanding dengan negara Islam lain yang berpandukan sistem Islamik.

Anak-anak di Malaysia lebih berpengetahuan, kemudahan perubatan yang terbaik dinikmati di segenap pelusuk negara, kadar pengangguran dan kemiskinan yang rendah memberi harapan cerah kepada belia-belia dan mereka yang bakal mewarisi negara.

Keutamaan wajar diberikan kepada pengukuhan pentadbiran kerajaan, institusi-institusi awam, pemerintahan, perundangan dalam menggalakkan integriti dan tadbir-urus yang baik.

Ia lebih bermanfaat dari mengintip dan membuka aib orang dan menghukum mereka seperti penjenayah.

Dosa persendirian di antara seseorang dengan Allah tidak menjejaskan orang lain atau ekonomi negara, walhal rasuah dan salah urus kewangan di kalangan ahli politik dan pegawai perkhidmatan awam memberi gambaran yang institusi perundangan memihak kepada mereka yang memegang kuasa.

Inilah gejala sosial yang boleh melumpuhkan ekonomi dan mengakibatkan rakyat bangkit merusuh.

Kerajaan dan ahli-ahli parlimen wajar meneliti agar tidak menyokong RUU355 dan menggembling tenaga untuk menyelesaikan masalah seperti 1MDB sambil memfokus
untuk menyelesaikan masalah besar negara yang lain seperti kelemahan ekonomi yang
mengakibatkan nilai

Ringgit lemah dan kos sara hidup yang kian meningkat. RUU355 tidak perlu dijadikan isu yang membahagikan Malaysia. Masanya adalah untuk 1Malaysia.


Kumpulan G25 adalah Kumpulan Melayu Eminent. Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapat penulis yang tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS