Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menjelang tahun ke-19 reformasi : Mana anak muda?
Diterbitkan:  Mar 7, 2017 7:41 PM
Dikemaskini: 11:51 AM

ULASAN | September 1998 adalah detik peristiwa yang sangat bermakna. Sebuah arus perjuangan yang kuat dan gelombang yang tidak mampu ditahan telah bergelora di hati sanubari rakyat.

Ia adalah satu bentuk kesedaran yang membangkitkan rakyat daripada alpa yang panjang.

Sebahagian yang melalui detik Reformasi 1998 adalah anak muda dan remaja yang berkocak hatinya, buas pemikirannya dan muda tenaganya, mereka cuba untuk merubah dan menumbang tembok-tembok pemisah yang memenjarakan antara kaum.

Dan tentu sekali yang paling utama adalah menukarkan regim Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu yang dilihat ataupun dinamakan sebagai watak antagonis yang paling dibenci.

Namun rentang masa 19 tahun bukan satu tempoh masa yang pendek. Jika dinisbahkan kepada seorang manusia, Reformasi sudah boleh masuk universiti. Namun apakah cita-cita pemuda ketika itu sudah tercapai?

Cita-cita misi reformasi

Entahlah. Jika ada pun hanyalah pertukaran beberapa kerajaan yang ternyata masih lagi muda dan perlukan masa untuk benar-benar menjayakan misi reformasi.

Ketika para politikus hanya memikirkan satu sahaja - menjatuhkan atau dijatuhkan, pertimbangan logika ketika itu adalah menang atau kalah. Sampai sahaja reformasi gagal mengisi apa yang akan berlaku jika menang dan apa pula yang akan dilakukan jika kalah.

Dek kerana suasana yang sangat terburu-buru, pemimpin yang ada saat itu tidak mempunyai banyak masa untuk mengisi persoalan tersebut. Namun dalam menegakkan nilai reformasi, kita tidak dapat lari dari keperluan kepada pemimpin berkualiti.

Maka, tinggalkan reformasi sebagai sebuah perjuangan yang terkontang kanting. Cumanya beberapa pimpinan yang ketika itu menyedari bahawa reformasi memerlukan satu hala tuju menggariskan hala tuju itu dalam beberapa ucapan yang boleh dikirakan lambat – tetapi lebih baik dari tiada.

Suasana hari ini

Hari ini selepas tsunami 2008, gelora politik Malaysia tidak tinggal diam, malah lebih bergelora. Tidak semena-mena watak antagonis yang paling dibenci oleh perjuang reformasi ketika itu – Dr. Mahathir Mohamad bersalaman dengan Anwar Ibrahim - seteru politik yang tidak mungkin duduk semeja tetapi hari ini kembali berpaut kasih.

Tidak semena-mena juga Dr. Mahathir tanpa segan silu menemui pejuang reformasi bulan lalu dalam Konvensyen Reformis Malaysia di Shah Alam. Lalu apa isyarat yang cuba difahami oleh rakyat?

Kelestarian agenda reformasi kini menjadi beban yang mesti ditanggung golongan muda merentasi parti politik. Para belia yang membesar ketika gelojak Reformasi 1998 – kini berusia 30 tahun hingga 40 tahun, sentiment dan semangat juang mereka semakin dilenyapkan oleh permainan sumbang para politikus hari ini.

Setelah mendesak gerakan reformasi, rakyat sebenarnya mahu melihat substansi kepada reformasi itu sendiri, bukan lagi terhenti setakat laungan keramat dan demonstrasi jalanan. Lantas hala tuju masa depan mesti disusun atur semula, bermulanya dengan persoalan sejauh mana pemimpin muda diposisikan dan digilap bakatnya sebagai barisan pemimpin masa hadapan.

Sejauh manakah ruang dibuka kepada pemimpin muda atau kah retorik pemuda harapan bangsa akan dilaungkan lagi menjelang PRU 14. Anak muda mesti tidak lagi dijadikan seperti kulit kayu manis atau bunga lawang, yang sekadar harum mewangi tetapi tidak signifikan ketika dihidangkan.

Lihat sahaja pemain politik yang ada sebahagian melonjak usia hampir setengah abad ada pula hampir mencecah satu abad. Mampukah mereka memimpin zaman yang sangat berbeza dengan jiwa mereka?

Mampukah mereka memahami suasana dan citarasa pengundi muda baru yang berjumlah tiga juta orang itu?

Keikhlasan pemimpin semasa

Seandainya anak muda benar-benar hendak diperkasakan, maka yang paling utama adalah keikhlasan pemimpin sekarang untuk membuka gelanggang dan bukan sekadar memukul gendang irama “aku lebih makan garam” dan mengharapkan anak muda menari galak.

Adalah tidak bermakna reformasi ini jika yang menjuarai perjuangan itu sendiri mengkhianati norma dan nilai reformasi. Kembali kepada pertanyaan, apakah norma dan nilai reformasi itu ada?

Ataukah sengaja dibiarkan supaya ruang itu kekal sempit untuk orang muda supaya mereka mudah dimanipulasikan dengan sesuka hati?

Ataukah Reformasi 1998 perlukan penjenamaan semula sepertinya TN50 Najib Tun Razak yang menggantikan Wawasan 2020?


MOHD SAIFULLAH ABD NASIR adalah Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) cawangan Pulau Pinang. Artikel ini ialah pendirian penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS