Harapan pudar, mungkin pembangkang patut diajar

       

ULASAN l Tepat sembilan tahun lalu, Malaysia mencatatkan peratusan keluar undi yang terbesar dalam sejarah pilihan raya dengan 8,161,039 juta daripada 10,.922,139 pemilih berdaftar keluar mengundi.

Sejak seawal jam 7 pagi, rakyat beratur panjang menunggu giliran untuk mengundi. Tiada yang menjangkakan bahawa tanggungjawab mereka secara demokratik akan menjanakan tsunami politik dan membawa kepada beberapa peristiwa bersejarah.

Buat kali pertama dalam sejarah politik Malaysia, gabungan parti paling lama memerintah ialah Umno-BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan menyaksikan lima negeri jatuh kepada pembangkang. Ketika itu juga, rakyat menyasikan bekas tahanan politik mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Selepas itu, Pakatan Rakyat ditubuhkan.

Sepanjang tempoh itu rakyat dapat menyaksikan dua musuh politik lama, DAP dan PAS, duduk semeja dan bercakap tentang mewujudkan Malaysia baru.

Bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan baru akan ditubuhkan pada 16 Sept 2008.

Terdapat pelbagai harapan dalam persekitaran politik itu. Walau bagaimanapun, kita bukan sahaja gagal melihat kerajaan baru di Putrajaya, tetapi sebaliknya, kerajaan negeri baru dibentuk di Perak.

Selanjutnya, adalah sejarah.

Rakyat kini keletihan

Seperti pilihan raya ke-11, pilihan raya umum pada 5 Mei, 2013 juga dinanti-natikan.

Umno-BN bukan sahaja kehilangan majoriti dua pertiga mereka sekali lagi tetapi juga tewas dalam kiraan undi popular. Ia adalah bencana kedua yang melanda gabungan politik itu yang sebelum ini tiada tandingan.

Hari ini, Pakatan Rakyat sudah terkubur. Anwar kembali dihumban dalam sel lamanya di Sungai Buluh, Lim Guan Eng pula sedang menghitung hari sebelum dimasukkan ke tirai besi sekali lagi, dan Rafizi Ramli juga menantikan nasib yang sama.

Hari ini, saya berani berkata bahawa pembangkang akan kekal sebagai pembangkang untuk sedekad akan datang atau mungkin lebih.

Kita tidak boleh menjangkakan satu lagi tsunami politik untuk mengubah status quo. Kita tidak boleh terus mengharapkan peratusan keluar mengundi yang tinggi.

Rakyat kini keletihan. Mereka bosan dengan rejim yang korup. Mereka juga bosan dengan pembangkang yang berpecah-belah dan asyik bercakaran sesama sendiri.

Tetapi lebih dikesali bahawa berlaku episod di mana beberapa personaliti mula secara perlahan-lahan menyerlahkan wajah hodoh sebenar mereka.

Saya bercakap dengan ramai orang. Mereka menyatakan kurang minat untuk menyertai pilihan raya akan datang kerana tidak melihat sebarang harapan dalam pembangkang. Saya rasa saya perlu bersetuju. Tidak ada harapan lagi.

Kepentingan peribadi

Ada yang membandingkan Malaysia dengan Myanmar, dengan berkata jika Myanmar berjaya menukar sebuah rejim, Malaysia juga mampu berbuat demikian.

Tetapi apa yang perlu disedari adalah bahawa kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan dari segi sistem pilihan raya dan perjuangan politiknya.

Walau bagaimanapun, satu perbezaan yang ketara, iaitu bekas pembangkang Myanmar mempunyai seorang pemimpin yang jelas, Daw Aung San Su Kyi, - ini membolehkan orang ramai ketahui siapa sebenarnya yang disokong mereka.

Tetapi di Malaysia, ini adalah sama sekali berbeza. Kita belum mencapai separuh daripada kemenangan yang kita idamkan.

Kemenangan rakyat dengan adanya pemimpin sebenar yang mewakili kepentingan mereka dalam kerajaan, hanya akan berlaku jika terdapat kumpulan pembangkang sebenar yang akan muncul; pembangkang dengan agenda pembaharuan sebenar, kuat dan kepimpinan yang bersatu.

Kita tidak boleh lagi bergantung kepada pemimpin yang mempunyai kepentingan peribadi sebagai kepentingan utama mereka. Tidak ada cara kita boleh menyelamatkan Malaysia dengan pemimpin yang bersikap sedemikian.

PRU-14 tidak lama lagi tetapi terdapat 4.1 juta pengundi berkelayakan yang masih belum mendaftar sebagai pengundi. Majoriti bilangan ini adalah golongan belia.

'Siapa patut saya undi'

Adalah sedih melihat golongan ini begitu kecewa, tidak bersedia untuk menjadi sebahagian daripada proses pilihan raya kerana mereka tidak lagi melihat mampu membuat perubahaan dengan penyertaan mereka.

Kami soal “mengapa”. Hanya satu jawapan mudah dari mereka: "Siapa patut saya undi."

Soalan yang sahih sesungguhnya. Tiada pilihan sebenar.

"Jika saya undi Umno, perlukah saya undi untuk parti yang mesra Umno atau proksi parti itu" atau "PKR yang sibuk dengan perbalahan dalaman mereka?" atau "DAP yang kini bermusuhan dengan bekas kekasih mereka, PAS ?" atau “AMANAH yang juga sibuk bercakaran dengan bekas temansebilik mereka - PAS?” atau “BERSATU yang mana presiden dan pengerusi masing-masing bercakap mengenai perkara berbeza mengenai isu sama "

Mungkin penyelesaian atau pelajaran terbaik bagi PRU-14 adalah untuk membawa pembangkang kembali seperti sedia kala sebelum 7 Mac 2008 apabila mereka tidak mempunyai sebarang negeri, GLC, atau kuasa.

Mungkin selepas itu, mereka akan ingat bagaimana untuk menjadi pemimpin sekali lagi dan bukan hanya sekadar menjadi pembangkang.


MANDEEP SINGH KARPALL SINGH adalah ahli sekretariat BERSIH. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian BERSIH.

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah dari penulis / penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda