Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Projek era Shafie Apdal diheret ke SPRM
Diterbitkan:  Mar 8, 2017 5:22 PM
Dikemaskini: 12:26 PM

Sebuah NGO membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan sebuah blog berhubung kegagalan projek bekalan air bersih ke sebuah pulau di Sabah.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, akibat kegagalan projek berkenaan, lebih 12,000 penduduk tidak dapat menikmati bekalan air bersih.

Katanya, blog Captain M The Great Soldier mendakwa berlaku penyalahgunaan dana dalam projek berkenaan semasa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) diterajui Datuk Seri Shafie Apdal.

"Sehingga kini belum ada laporan rasmi dibuat meskipun blog tersebut telah membuat kenyataan berdasarkan bukti yang diterima yang tidak sepatutnya kita tidak ambil peduli," tegas Zulkarnain ketika ditemui pemberita di luar bangunan SPRM Putrajaya hari ini.

Justeru itu, Zulkarnain mempersoalkan mengapa projek bernilai RM100 juta itu gagal dilaksanakan.

"Wang RM100 juta itu adalah wang rakyat Malaysia. Kita perlu tahu kenapa projek ini boleh gagal dan adakah projek itu diketahui oleh kerajaan negeri atau tidak?" soalnya.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum ini memaklumkan sedang menyiasat projek itu.

Shafie, bekas naib presiden Umno, kini memimpin parti pembangkang sendiri setelah tidak sependapat dengan Datuk Seri Najib Razak, terutama dalam isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang diterima bekas presidennya itu.

Anggota PAC, Dr Tan Seng Giaw berkata wang yang disalurkan kerajaan persekutuan melalui KKLW itu adalah untuk menyediakan bekalan air kepada penduduk kampung miskin dan sekolah di Pulau Gaya.

"Kami pergi ke Kota Kinabalu untuk meninjau projek itu. Ia teruk. Mereka juga adalah orang miskin.

“Kami nak tahu mengapa penduduk kampung masih tidak dapat bekalan air apabila kerajaan persekutuan sudah memberi wang mencukupi untuk projek itu?" soalnya.

Shafie yang dihubungi Malaysiakini berkata beliau bersedia untuk memberikan kerjasama dengan SPRM berhubung dakwaan berkenaan.

"Tidak ada asas kukuh, tak perlulah komen dan biarlah SPRM buat siasatan," kata Shafie ringkas.

Lihat Komen
ADS