Terjemahan Proton, Naza dan Inokom berada di tempat tercorot dalam satu kajian yang dijalankan baru-baru mengenai jenama kereta yang paling memuaskan hati pengguna di Malaysia, terutama mengenai perkhidmatan selepas jualan.
Ketiga-tiganya menduduki tempat ketiga terbawah dalam kajian tersebut Indeks Kepuasan Pengguna Malaysia (CSI) JD Power Asia Pacific 2005 membabitkan 11 pengeluar kereta.
Bagaimanapun, Perodua yang mengeluarkan kenderaan jenis kompak, merupakan satu-satunya pengeluar kenderaan di Malaysia yang berjaya melepasi tahap purata kepuasan pengguna dalam industri automatif.
Rating purata indeks kajian tersebut ialah 713, berdasarkan kepada 1,000 mata skala. Proton yang berada di pasaran sejak awal 1980-an, berada di kedudukan 23 mata di bawah. Perodua lulus ujian tersebut, dengan memperolehi 721 mata.
Nissan mendahulu senarai tersebut, diikuti Honda dan kereta buatan Amerika, Ford di tempat ketiga. Manakala kereta buatan Korea, Kia berada satu tangga di bawah Perodua.
Kajian yang dijalankan secara bebas oleh JD Power itu, mengukur tahap kepuasan pengguna dengan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan oleh pengedar yang sah. Ia berdasarkan kepada penilaian yang dibuat oleh lebih 2,200 pemilik kenderaan sepanjang tempoh 12 hingga 18 bulan pemilikan.
Tujuh faktor utama
Menjelas lebih lanjut mengenai kajian tersebut, syarikat berkenaan, dalam satu kenyataan, berkata kepuasan keseluruhan pengguna diukur daripada prestasi pengedar yang sah yang diletakkan dalam tujuh faktor CSI.
Tujuh faktor tersebut, mengikut susunan kepentingannya, adalah: kualiti servis, masalah yang dialami, servis mesra pengguna, pengalaman dalam servis, penasihat servis, permulaan servis dan pelaksanaan servis.
"Kadar pelaksanaan standard servis, berkait rapat dengan kepuasan keseluruhan pengguna. Kesetiaan dan sokongan niat, berkait rapat kepada jumlah servis yang dilakukan," kata Pengurus Besar JD Power, Singapura, Gerrit Kuyntjes.
Aduan mengenai kualiti produk dan perkhidmatan selepas jualan telah menjadi sinonim dengan Proton. Baru-baru ini, pengeluar kereta tersebut berkata pihaknya merancang untuk melupuskan "imej kereta murah".
Baru-baru ini, malaysiakini melaporkan kekecewaan seorang pemilik kereta Proton Waja yang mendakwa keretanya masih menghadapi masalah walaupun selepas lebih 10 kali dihantar untuk servis.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah penasihat Proton.
