Jenayah berteknologi tinggi, seperti penipuan dokumen, pengubahan wang haram dan dagangan barangan haram dalam talian, menjadi akar kepada hampir semua jenayah serius, kata agensi polis Eropah.
"Ancaman jenayah ini memboleh dan memudahkan kebanyakan, jika tidak semua, lain-lain jenis jenayah berat dan terancang," seperti pengedaran dadah dan pemerdagangan manusia, kata Europol dalam satu kajian mengenai jenayah terancang yang diterbitkannya setiap empat tahun.
Apa yang dipanggil "ransomware", yang menghalang seseorang atau komputer syarikat sehingga fi dibayar untuk membuka kuncinya, telah menjadi satu kebimbangan utama.
Tetapi jenayah tradisional juga kini semakin bergantung kepada teknologi baru, seperti penjualan dadah menggunakan dron, dan perompak menggunakan komputer untuk memantau kejiranan secara talian dan mengesan pos media sosial untuk mengetahui bila penghuni tiada di rumah.
Europol berkata terdapat kira-kira 5,000 kumpulan jenayah antarabangsa dalam siasatan, dengan ahli-ahli mereka dari lebih daripada 180 bangsa.
Pengedaran dadah kekal sebagai pasaran jenayah terbesar di Kesatuan Eropah, dengan menjana sekitar €24bil (RM113 bilion) keuntungan setiap tahun.
Penyeludupan manusia telah menjadi lebih menguntungkan ekoran peperangan dan pergolakan di Timur Tengah dan Afrika telah mengakibatkan begitu ramai yang cuba lari ke Eropah, dengan 510,000 lintasan haram ke EU pada 2016.
"Hampir semua pendatang tidak sah yang tiba di Kesatuan Eropah di sepanjang laluan ini menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh rangkaian jenayah pada satu ketika dalam perjalanan mereka," kata Europol.
- Reuters
