Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pembantu Rosmah: Pulihkan semangat patriotisme
Diterbitkan:  Mar 10, 2017 1:14 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Terkilan dengan generasi hari ini yang seolah-olah sudah tiada lagi semangat patriotisme, seorang pegawai khas kepada isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, mencadangkan semua pihak melihat kembali bagaimana hal seumpama itu perlu diuruskan.

“Mungkin sudah tiba masanya, kita semua melihat kembali bagaimana hal seperti ini perlu diuruskan.

“Semangat patriotisme rakyat adalah elemen terpenting bagi pembangunan sesebuah negara,” kata Datuk Rizal Mansor dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ini berlaku kerana ada segelintir rakyat yang cepat membuat kesimpulan menunding jari kepada pihak kerajaan dan pasukan keselamatan apabila berlaku krisis berkaitan keselamatan dalam negara.

“Kononnya, pasukan keselamatan negara gagal mendapatkan maklumat-maklumat awal bagi membendung kejadian-kejadian seperti kes pencerobohan di Lahad Datu dan yang terbaru berkaitan tragedi pembunuhan Kim Jong-nam.

“Malah lebih teruk lagi, ada juga suara sumbang yang mengaitkan dengan 'teori konspirasi',” katanya.

Menurut Rizal, generasi baru berkenaan tanpa segan silu memuat naik komentar yang begitu biadap mengecam kerajaan serta mempersoalkan keberkesanan pasukan keselamatan negara, di media sosial seolah-olah mereka sudah tiada lagi semangat patriotisme.

“Golongan ini lebih rela melihat negara diperkotak-katikan dan dipandang rendah pihak luar, bagi mereka tindak balas kerajaan terhadap pihak luar yang berkonfrontasi hanya akan mempertaruhkan keselamatan rakyat dalam negara ini,” katanya.

Malah, keluh Rizal, belum pun negara diserang secara langsung, mereka ini telah 'menyerah kalah' dan lebih rela menjadi barua kepada musuh.

Menurut Rizal, sentimen seumpama itu, sebenarnya diterapkan dalam pemikiran generasi baru oleh individu-individu berkepentingan politik yang secara konsisten menyebarkan dakyah palsu hingga akhirnya berhasil menjadikan generasi hari ini hilang semangat patriotisme.

“Generasi kini sudah berada dalam 'zon selesa' dan pengorbanan pasukan keselamatan seperti polis dan tentera yang berkawal di sempadan seolah dipandang enteng sedangkan nyawa dipertaruhkan,” katanya.

Rizal berkata, ini adalah jauh berbeza daripada generasi nenek moyang kita yang sanggup bergadai nyawa mempertahankan hak di tanah air meskipun ditindas pihak yang menjajah.

“Kita biasa mendengar peribahasa 'biar putih tulang, jangan putih mata', itulah semangat yang dipegang oleh nenek moyang kita dahulu kala sebelum negara ini mencapai kemerdekaan.

“Mereka sanggup bergadai nyawa mempertahankan hak di tanah air walaupun serba-serbi kekurangan dari aspek pertahanan,” katanya.

Lihat Komen
ADS