Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Undang-undang baru jenayah seksual kanak-kanak akan dibentang

Satu undang-undang baharu dan khusus bagi menangani kesalahan jenayah seksual kanak-kanak secara holistik dan komprehensif akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berharap Rang Undang-undang Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 mendapat sokongan semua Anggota Parlimen kerana ia adalah tanggungjawab semua pihak tanpa mengira fahaman politik untuk menangani jenayah itu.

"Undang-undang itu tidak boleh ditentang oleh mana-mana parti politik," katanya semasa berucap merasmikan Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan!!! di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung Permata, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan bekas Presiden Republik Indonesia Megawati Soekarnoputri.

Najib berkata kerajaan juga bercadang menubuhkan Mahkamah Jenayah Khas bagi mengendalikan prosiding jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang menjadi mangsa.

Perdana menteri berkata Mahkamah Jenayah Khas itu berbeza dengan Mahkamah Kanak-Kanak sedia ada yang hanya mengendalikan kes-kes melibatkan pelaku jenayahnya yang terdiri daripada kanak-kanak.

Najib berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan mengeksploitasi dan mendera kanak-kanak secara seksual, dan akan berusaha menghentikan jenayah kejam itu.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan sebanyak 5,779 kes penderaan seksual kanak-kanak direkodkan dari 2010 hingga 2015 dengan purata kes sebanyak 963 kes setahun, kata beliau.

Menurutnya statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pula merekodkan 2,759 kes rogol, 412 kes sumbang mahram, 1,423 kes mencabul kehormatan dan 422 kes luar tabii melibatkan mangsa di bawah 18 tahun bagi tempoh 2015 dan 2016.

"Merujuk kepada kes-kes di atas, ia tidak sepatutnya berlaku. Kita tidak harus membiarkan kanak-kanak terus dijadikan mangsa eksploitasi oleh pemangsa-pemangsa seksual," kata Najib.

Perdana menteri berkata kanak-kanak perlu dihormati sebagai individu yang mempunyai hak-hak sama seperti orang dewasa untuk mendapatkan perlindungan daripada sebarang ancaman.

Berikutan itu, katanya, jenayah seksual terhadap kanak-kanak boleh dianggap sebagai suatu bentuk kekejaman yang paling teruk kerana ia memberi kesan kepada mangsa yang terlibat dan boleh menghantui hidup mereka sehingga dewasa, kata beliau.

Najib turut melahirkan rasa sedih dan kecewa kerana masih ada individu bergelar pedofilia yang mempunyai keinginan seksual terhadap kanak-kanak.

"Mereka ini tergamak memangsakan kanak-kanak yang tidak berdosa seperti yang pernah berlaku dalam kes melibatkan warga United Kingdom iaitu Richard Huckle yang didapati bersalah mencabul kanak-kanak di Malaysia.

"Maka, kita sebenarnya berdepan dengan suatu cabaran yang cukup getir di dalam mengenal pasti mereka ini yang boleh kita umpamakan sebagai 'musang berbulu ayam' atau 'haruan makan anak' dalam kalangan masyarakat," kata beliau.

Sehubungan itu, perdana menteri menasihati ibu bapa supaya mengawasi anak-anak daripada menjadi mangsa jenayah itu dan mendidik mereka mengenai 'sentuhan yang wajar dan tidak wajar'.

Beliau turut meminta masyarakat supaya mengambil berat tentang perkara itu.

Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan!!!, yang dianjurkan Permata dengan kerjasama beberapa kementerian berkaitan, dihadiri hampir 2,000 peserta termasuk isteri pemimpin politik, ahli akademik, pengusaha Taman Asuhan Kanak-kanak dan penuntut universiti.

- Bernama

Lihat Komen
ADS