Anwar minta siasat menteri miliki rumah RM20 juta dan AP
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa ada menteri sekarang yang memiliki rumah bernilai RM20 juta, kereta lima enam buah seorang serta mendapat permit membawa masuk kereta (AP).
Manakala anak menteri, menantu dan isteri mereka pula, dakwa beliau, juga sibuk mengaut harta rakyat.
Sehubungan itu, Anwar mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membersihkan kerajaannya daripada rasuah bagi membolehkan negara bersaing secara lebih kompetitif di peringkat serantau dan antarabangsa.
Bekas Menteri Kewangan itu juga berkata Abdullah perlu melakukan pembersihan secara besar-besaran dalam kabinetnya untuk kebaikan negara dan rakyat sendiri.
"Dalam soal poltik wang, kalau nak buat kena buat betul-betul, jangan buat dua tiga kerat saja. Siasatlah semua.
"Perdana Menteri...buatlah pembersihan kerana kerajaan dan pemimpin yang rasuah tidak diyakini orang.
"Kerana rasuah yang berleluasa, maka daya saing negara semakin menurun. Kita sudah kalah dengan China, India dan Thailand," katanya ketika berucap di markas Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kampung Kerinci di ibu negara malam tadi.
Katanya, undang-undang negara ini sangat pelik kerana mereka yang rasuah RM800 juta selamat manakala mereka yang menerima rasuah RM50 dihukum dan dipenjarakan.
Kenaikan kadar tol
Anwar juga mendedahkan, ketika menjadi Menteri Kewangan mulai tahun 1991 sehingga 1998, beliau tidak pernah meluluskan kenaikan kadar tol.
"Konsensi lebuh raya datang merayu supaya dibenarkan menaikkan kadar tol tetapi saya kata tidak boleh. Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad minta saya naikkan tol, tetapi saya tolak.
"Selepas saya dipecat pada 2 September 1998, tidak lama selepas itu kadar tol dinaikkan," katanya lagi.
Anwar juga bertanya apakah rasionalnya kerajaan membelanjakan RM150 juta untuk membeli jarum dan kondom untuk diberikan kepada penagih, sedangkan lebih baik wang sebanyak itu diberikan kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
Dalam ucapannya kepada kira-kira 700 hadirin, Anwar juga menyentuh mengenai Kampung Kerinci yang menurutnya meninggalkan banyak kenangan kepada beliau semasa menjadi penuntut Universiti Malaya dahulu.
Menurutnya, semasa menjadi pemimpin pelajar dan dikejar polis ketika mengadakan tunjuk perasaan, beliau melarikan diri dan berlindung di Kampung Kerinci.
"Sebab itu, apabila saya menjadi Timbalan Perdana Menteri saya membangunkan rumah kos rendah untuk penduduk Kampung Kerinci," katanya sambil menambah kerajaan tidak mahu membina rumah kos rendah kerana untungnya sedikit.
Anwar berkata, semasa menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1995, beliau telah melancarkan pembinaan projek rumah kos rendah secara besar-besaran di seluruh negara, terutama di Lembah Kelang.