Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengemukakan permohonan rasmi menyertai gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN), tetapi meminta nama itu ditukar.

"Kita (BERSATU) akan menyatakan pada mereka pendirian BERSATU untuk menyertai (HARAPAN) dengan tujuan mungkin menyesuaikan sedikit nama dia.

"(BERSATU) juga bersetuju bahawa polisi yang kita persetujui ialah, kita perlu - selain daripada mengadakan nama yang baru - kita juga ingin ada suatu logo dan simbol untuk (menghadapi) pilihan raya dan mempunyai satu manifesto," kata Tun Dr Mahathir Mohamad di Petaling Jaya hari ini.

Pengerusi BERSATU itu berkata, secara dasarnya BERSATU bersetuju selain nama pakatan baru, mereka juga ingin suatu logo bersama yang baru serta manifesto untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurut Dr Mahahir, pemimpin HARAPAN sudah mengetahui niat BERSATU mahu menyertai gabungan berkenaan.

Justeru, katanya, beliau berharap, penyertaan rasmi parti berkenaan dalam HARAPAN dapat menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Dr Mahathir juga berkata, mereka belum lagi membincangkan isu pembahagian kerusi dengan HARAPAN.

"Kami belum sertai gabungan itu, macam mana kami nak berbincang mengenai pembahagian kerusi?" katanya.

Bagaimanapun bekas perdana menteri itu berkata, BERSATU bersetuju dengan prinsip bahawa formula satu lawan satu mesti direalisasikan bagi memastikan pembangkang dapat mencabar BN pada pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir turut menyatakan keyakinannya bahawa HARAPAN akan menyokong cadangan BERSATU.

"Sebab mereka tahu kekalahan mereka dulu disebabkan pembangkang tidak cukup bersatu," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS