Paling Popular
Terkini
story images
story images

Sidang Dewan Rakyat petang ini 'diwarnai' drama kata mengata selepas Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) mengecam serta menyindir Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah).

Suasana terkawal semasa sidang itu mula bergelora apabila Annuar - secara sinis - mengucapkan tahniah kepada Kit Siang kerana begitu lama terbabit dalam politik retorik.

Malah ketua penerangan Umno itu juga membandingkan Kit Siang dengan bekas presiden Filipina yang digulingkan rakyat, Ferdinand Marcos, serta Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe.

"Gelang Patah (merujuk kepada Kit Siang) 50 tahun dengan retorik politik. Saya ucapkan tahniah kepada beliau," katanya.

Kenyataan itu mendorong Kit Siang bangun untuk mencelah namun tidak diberi ruang oleh Annuar.

Lim Lip Eng (DAP-Segambut) kemudian bangkit dan mula mengecam Annuar sebagai "pengecut", "ayam" dan "chicken s***!"

Pada suatu ketika Lip Eng turut menggelar Annuar sebagai "separuh jantan" dan "eh, pondan, diamlah!".

Annuar ketika itu sedang berucap membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang merasmikan mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-13 yang bermula pada 6 Mac lalu.

Skrin televisyen yang menayangkan perbahasan berkenaan secara langsung tidak menyiarkan imej pihak yang disasarkan Lip Eng dengan kata-kata itu.

Bagaimanapun seketika kemudian skrin kemudian menunjukkan Annuar masih berdiri dan mengherdik semula ke arah pihak pembangkang.

Pertengkaran itu berlangsung beberapa minit dan apabila ia reda, Annuar berkata, ketika Kit Siang berucap anggota parlimen BN "memberi peluang dan menghormati" ahli politik veteran itu dengan tidak mengganggunya.

Annuar kemudian berkata, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah menggelar Kit Siang seorang rasis.

Kenyataan itu sekali lagi mencetuskan kekecohan apabila Teo Kok Seong (DAP-Rasah) menuntut Annuar menarik balik perkataan "rasis".

Kemudian dua anggota parlimen BN, Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) dan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) bangkit membela Annuar.

"Mahathir yang cakap begitu (dan bukan Annuar). Eh, bodoh! Bodong punya Rasah," kata Othman.

Annuar kemudian turut mengaitkan Kit Siang sebagai seorang anti-Islam.

"Hal ehwal Islam tidak disokong oleh yang berhormat (Gelang Patah). Sama ada nak guna anti-Islam atau tidak (ke atas Kit Siang), rakan kita PAS lebih mengetahui betul atai tidak.

"Penentangan secara semberono terhadap cadangan Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminda Akta 355) adalah petanda yang berhormat tidak menghormati Islam.

"Itu pendapat saya, betul atau tidak, ia soal lain," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS