Anwar kesal mulut pelajar dikunci
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa banyak kelemahan dan kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran pusat pengajian tinggi tempatan kebelakangan ini termasuk melantik naib canselor yang tidak layak.
Beliau berkata, kerajaan sengaja mahu menyekat kebebasan pelajar dan tidak mahu memberi kefahaman yang tepat mengenai sesuatu perkara.
"Kerajaan melantik Naib Canselor yang boleh mengekang aktiviti pelajar dan mengikut telunjuk kerajaan tanpa usul periksa," katanya dalam satu majlis ceramah di Kampung Kerinci di ibu negara baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan kerajaan mengunci mulut pelajar menjadikan pelajar lepasan universiti berada dalam keadaan tidak bermaya.
Anwar bagaimanapun, berkata kelemahan tersebut tidak berlaku semasa beliau menjadi pelajar Universiti Malaya pada tahun 1960 dahulu.
"Zaman saya pelajar bebas bersuara mengenai sesuatu isu dan ini adalah satu proses untuk mematangkan mereka sebelum keluar menjadi pemimpin masyarakat dan negara," katanya lagi.
Beliau berkata, pendekatan sekarang tidak betul kerana ia menghalang proses pembentukan seseorang mahasiswa dan ini melahirkan mahasiswa yang lesu.
"Biarlah mereka bertanya seberapa banyak yang mereka mahu kerana ia merupakan proses pembelajaran. Biar masyarakat maju, bukan masyarakat rosak," katanya lagi.
Kecewa dengan DBKL
Sementara itu, Anwar kecewa dengan sikap kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertindak tanpa peri kemanusiaan terhadap peniaga kecil di ibu negara.
Beliau berkata, pegawai DBKL seolah-olah mahu menunjuk kuasa dengan merampas dan menyepak barangan peniaga kecil meskipun mereka melakukan kesalahan yang remeh.
"Ada penjaja di kawasan Masjid India mendakwa penguatkuasa DBKL bertindak garang sedangkan masalah tersebut boleh diselesaikan dengan mudah dengan hanya meminta mereka mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.
Anwar juga mendedahkan mengenai sikap sombong pegawai kanan kerajaan yang tidak mahu turun padang melihat dengan mata sendiri mengenai masalah rakyat.
Katanya, mereka tidak mahu meninjau keadaan peniaga Melayu di warung dan gerai di tepi jalan kerana tidak mahu minum di gerai tersebut yang kononnya kotor.
"Saya sendiri semasa menjadi menteri kabinet minum di sebuah gerai di Kampung Baru...guna cawan yang orang lain guna juga," katanya.