Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suhakam gesa hukuman mati dimansuhkan
Diterbitkan:  Mar 16, 2017 6:31 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan mengkaji semula penggunaan hukuman mati mandatori dan menghentikan kesemua pelaksanaan hukuman yang dijadualkan, berikutan kebimbangan mengenai pelaksanan hukuman tergesa-gesa terhadap dua beradik.

"Suhakam menyeru kerajaan mengkaji semula kerelevanan dan keberkesanan hukuman mati dan mencadangkan larangan sementara terhadap pelaksanaan hukuman mati," kata pengerusinya Tan Sri Razali Ismail dalam satu kenyataan.

Ini dinyatakan selepas hukuman mati dijatuhkan kepada dua beradik, Rames dan Suthar Batumalai yang disabitkan kesalahan membunuh.

Hukuman berkenaan mencetuskan kontroversi selepas pelaksanaannya dipercepatkan, walaupun rayuan pengampunan masih dibincangkan oleh Lembaga Pengampunan.

Razali berkata hukuman mati mandatori melanggar hak asas untuk hidup, seperti termaktub dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

"Suhakam berpendapat hukuman mati mandatori perlu dimansuhkan supaya hakim diberi kuasa budi bicara mereka untuk membuat keputusan mengenai hukuman bagi seseorang yang disabitkan," kata Razali.

Hukuman terhadap dua beradik itu sepatutnya dilaksanakan pada 24 Februari tetapi pelaksanaannya ditangguhkan sementara menunggu rayuan akhir untuk mendapatkan pengampunan dan bukti yang dikeluarkan dari perbicaraan dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.

Namun keluarga kemudian dimaklumkan hukuman akan dilaksanakan Jumaat ini dan diberitahu untuk bertemu mereka buat kali terakhir.

Bagaimanapun mereka kemudian diberitahu bahawa pelaksanaan hukuman dipercepatkan semalam.

Kedua-dua beradik itu digantung pada waktu subuh pada hari Rabu.

Lihat Komen
ADS