Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kolam tadahan Kg Berembang bakal dinaik taraf atasi banjir
Diterbitkan:  Mar 20, 2017 4:51 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang menaik taraf kapasiti kolam tadahan Kampung Berembang bagi mengatasi masalah banjir kilat di ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata penambahbaikan kolam penahanan air bagi Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan (SMART) itu akan dilakukan sebagai persediaan menampung intensiti hujan yang banyak.

"Usaha ini akan melibatkan kerjasama antara DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dalam memastikan air hujan yang berlebihan tidak melimpah daripada kolam dan seterusnya mengakibatkan banjir kilat.

"Kami juga bercadang membina satu kolam tadahan banjir Sungai Bunus berdekatan Universiti Teknologi Malaysia, di sini dan SMART 2 sebagai usaha mengawal keadaan banjir kilat sekiranya berlaku di situ," katanya.

Beliau mengulas mengenai banjir kilat di beberapa lokasi di ibu negara semalam selepas Majlis Pelancaran Pecah Tanah dan Permohonan Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) Residensi Rampai II, Taman Seri Rampai, hari ini.

Tengku Adnan berkata banjir kilat di kawasan Masjid Jamek, petang semalam berpunca daripada pertembungan limpahan air Sungai Bunus (Sungai Gombak) dan Sungai Klang akibat limpahan hujan sebanyak dua kali ganda daripada biasa.

Beliau berkata banjir kilat di kawasan itu adalah keadaan yang sangat jarang berlaku dan perbincangan bersama JPS dan DBKL untuk mengatasi masalah banjir ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata pangsapuri Rumawip Residensi Rampai II akan dimulakan pembinaannya pada Jun tahun ini dan dijangka siap pertengahan 2021, dengan harga RM300,000 seunit.

Beliau berkata sebanyak 308 unit kediaman mampu milik berkeluasan 74.3224 meter persegi (800 kaki persegi) dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air itu dilengkapi kemudahan bertaraf kondominium antaranya tempat letak kenderaan, gimnasium dan tadika.

"Kawasan Taman Sri Rampai terletak di kawasan komersial yang amat strategik dan berdasarkan nilai semasa hartanah di kawasan berdekatan, dijangkakan nilai sebenar Rumawip ini boleh mencecah harga melebihi RM400,000 seunit," katanya.

Tengku Adnan berkata permohonan membeli projek kediaman itu dibuka kepada orang ramai bermula hari ini.

Sehingga Februari lalu, keseluruhan projek Rumawip mencapai 67 peratus (53,246 unit) daripada sasaran pembinaan 80,000 unit rumah menjelang 2018.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS