Melaka suarakan kenaikan tarif elektrik pada pusat

       

Kerajaan negeri Melaka akan menyuarakan masalah isu kenaikan tarif elektrik dan gas ke peringkat kerajaan pusat bagi membantu kilang Recron (Malaysia) Sdn Bhd di Tanjung Kling di Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, usaha berkenaan diharap dapat membantu pengeluar bahan mentah membuat pakaian itu terus berdaya saing.

Menurutnya, syarikat tersebut merupakan pengeluar bahan mentah pakaian yang berkualiti tinggi dieksport ke lebih 65 negara melibatkan jenama antaranya Zara serta Marks and Spencer.

"Saya mendengar ada sedikit tekanan daripada pihak pengurusan, iaitu kenaikan tarif elektrik dan gas yang mungkin menyebabkan mereka tidak dapat mengeluarkan bahan mentah pada harga dan kualiti sepatutnya.

"Kenaikan tarif elektrik dan gas bukan kawalan kerajaan negeri, namun kita akan membawa isu ini ke peringkat kerajaan pusat untuk membantu mereka kekal berada di Melaka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang berkenaan di Melaka, hari ini.

Turut hadir Exco Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan NGO Melaka, Datuk M.S.Mahadevan dan Pengarah Recron, R.Rakesh Gaur.

Idris berkata, lawatannya ke kilang itu mengambil kira kepentingan industri ini kerana ia menyumbang satu pertiga daripada pakaian dunia.

Tahun lepas Melaka menerima pelaburan berjumlah RM1.35 bilion dengan RM675.5juta adalah pelaburan asing, manakala selebihnya pelaburan domestik.

Tahun ini sektor pembuatan dijangka menjana kira-kira RM13 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar negeri ini.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda