Malaysia timbang naik taraf armada laut

       

Malaysia menimbang untuk menaik taraf armada tentera lautnya, ketika negara-negara di rantau ini bersedia untuk menghadapi ancaman daripada kemasukan militan IS yang melarikan diri dari Mosul, dan juga ketegangan yang meningkat di Laut China Selatan.

Perbelanjaan Pertahanan di rantau Asia Pasifik dijangka mencecah AS$250 bilion dari 2016-20, kata IHS Janes Defence Weekly pada bulan Disember, dan Malaysia berhasrat untuk meningkatkan keupayaan bersama negara-negara lain di Laut China Selatan yang menjadi rebutan, walaupun dengan bajet pertahanan yang sempit.

Tentera laut Malaysia berhasrat untuk menggantikan semua 50 kapal dalam armadanya ketika negara ini mengurangkan jumlah bajet pertahanan sebanyak 12.7 peratus kepada RM15.1 bilion (AS$3.41 bilion) tahun ini. Ini akan diterajui dengan perolehan empat kapal misi pesisir (LMS) yang dibina dengan kerjasama China.

"LMS direka untuk banyak aspek keselamatan maritim seperti menangani jenayah rentas sempadan, cetak rompak, anti-keganasan dan operasi mencari dan menyelamat," kata Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dalam satu wawancara dengan Reuters.

Kapal-kapal ini, katanya, sangat mampu berdepan dengan ancaman Daesh dan lain-lain masalah keselamatan maritim.

Malaysia dijangka merasmikan perjanjian dengan China di Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) minggu ini untuk membina empat buah LMS dan memperoleh teknologi untuk membina kapal-kapal itu di sini. Tentera laut berharap ini akan membolehkan mereka memiliki sejumlah 18 buah LMS.

Rancangan untuk memperoleh empat buah LMS dari China pertama kali diumumkan pada bulan November.

Lebih 500 peserta dari 36 negara akan mempamerkan barangan mereka di LIMA tahun ini, yang diadakan setiap dua tahun di pulau bebas cukai Langkawi.

Kamarulzaman berkata, mereka juga di peringkat akhir rundingan dengan pembuat kapal Perancis DCNS untuk melancarkan program untuk membina kapal tempur pesisir (LCS) yang lebih besar yang menurut beliau dijangka diumumkan secara rasmi pada bulan Ogos atau September tahun ini.

Tentera laut itu juga berhasrat untuk memperolehi tiga buah kapal baru pelbagai peranan sokongan (MRSS) dan dua buah lagi kapal selam.

Pembesaran tentera laut di rantau ini adalah ekoran peningkatan ketegangan di Laut China Selatan, di mana tindakan Beijing mewujudkan pulau-pulau buatan, telah membimbangkan berapa negara Asia dan mencetuskan pergeseran antara tentera laut China dan tentera udara Amerika Syarikat.

China menuntut sebahagian besar daripada Laut China Selatan. Filipina, Vietnam, Malaysia, Taiwan dan Brunei juga membuat tuntutan yang sama.

Di bawah Presiden Joko Widodo, jumlah perbelanjaan pertahanan Indonesia melonjak sekitar 26 peratus, dan bulan lepas kerajaan tentera Thailand meluluskan perolehan kapal selam melalui perjanjian 13.5 bilion baht (AS$389.05 juta) dengan China selepas menangguhkan perolehannya itu pada tahun lepas.

[Baca berita penuh]

- Reuters

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda