Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Boleh berduaan dengan pemandu bukan mahram tapi bersyarat'
Diterbitkan:  Mar 21, 2017 4:47 PM
Dikemaskini: 2:49 PM

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mencadangkan pemandu atau pelanggan perkhidmatan teksi, Uber dan GrabCar mengelakkan perbuatan khalwat dalam kenderaan.

[Baca artikel penuh]

Untuk itu, pelanggan dicadang menyemak maklumat pemandu selepas memohon perkhidmatan itu dan membatalkannya jika berlainan jantina.

“Para pelanggan perkhidmatan ini boleh menekan butang cancel request (batal permohonan) sekiranya dia mendapati pemandu tersebut berlainan jantina dengannya,” menurut penjelasan di laman web pejabat itu.

Bagi pemandu pula, pejabat itu maklum bahawa akaun mereka boleh digantung jika menolak permintaan pelanggan beberapa kali.

Perkara itu sudah pasti menyukarkan pekerjaan mereka jika berlaku.

“Maka kami berpendapat tidak mengapa di dalam kes ini untuk pemandu berdua-duaan bersama penumpang berlainan jantina di dalam kenderaan.

“Dengan syarat penumpang itu duduk di bahagian belakang kenderaan, tidak berbual melainkan sekadar yang perlu sahaja.

“Pemandu melalui jalan yang tidak sunyi agar terlindung dari sebarang fitnah,” kata pejabat itu.

Pejabat itu menekankan keperluan mematuhi dhawabit (kriteria) yang dinyatakan itu.

Mufti: Bukan fatwa

Pandangan itu dikeluarkan bagi menjawab soalan yang mahu tahu hukum menaiki kenderaan dalam keadaan berdua-duaan dengan pemandu yang berlainan jantina dan bukan mahram.

Mengulas secara umum, pejabat itu berkata secara asasnya seorang lelaki dan wanita ajnabi dilarang berdua-duaan supaya perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina atau permulaan zina dapat dielakkan.

“Ini sama ada khalwat itu berlaku di taman-taman bunga, taman tasik, di dalam bilik atau hotel, dan begitulah juga di dalam kenderaan seperti teksi, Uber, atau GrabCar,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat pengecualian dalam hal-hal bersifat darurat seperti membantu kes seorang lelaki membantu menghantar wanita yang sesat di jalan bagi menjaga keselamatannya.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad ketika dihubungi Malaysiakini menegaskan pandangan itu bukan fatwa kerana fatwa tertakluk kepada mesyuarat dan prosedur yang ditentukan.


Berita ini pada asalnya menggunakan tajuk "Pejabat mufti: Jangan khalwat dalam teksi, Uber, GrabCar". Bagaimanapun ia ditukar kepada tajuk baru sedia ada supaya lebih jelas dengan maksud yang hendak disampaikan. Harap maklum. - Pengarang

Lihat Komen
ADS