Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anak tanpa kerakyataan, 'kata putus' di tangan menteri

'Kata putus' muktamad mengenai nasib kanak-kanak tanpa kerakyatan yang dilahirkan di Malaysia terletak di tangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Peguam Annou Xavier, yang telah mengendalikan beberapa kes yang melibatkan kewarganegaraan untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan, berkata menteri dalam negeri mempunyai kata putus muktamad mengenai kewarganegaraan, seperti dalam peruntukan-peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Di bawah Perkara 14 dan Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, keputusan akhir dan kuasa muktamad (untuk memberikan kewarganegaraan) terletak di tangan menteri berkenaan. Dan itu adalah menteri dalam negeri," Annou kepada Malaysiakini semalam.

Perkara 14 berurusan dengan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang yang tertakluk kepada peruntukan-peruntukan tertentu, manakala Perkara 15A menggariskan kuasa khas untuk mendaftarkan kanak-kanak, iaitu "Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, menyebabkan mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun didaftarkan sebagai warganegara".

Annou (foto) berkata, biasanya, selepas kanak-kanak tanpa kerakyatan gagal dalam permohonan mereka untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), beliau menyarankan mereka membawa perkara itu ke mahkamah.

Walaupun mereka boleh cuba untuk memohon melalui JPN sekali lagi, katanya, ia akan mengambil masa lagi 12 hingga 18 bulan untuk menunggu keputusannya, sebagai tambahan kepada 12 hingga 18 bulan awal dari permohonan pertama mereka.

Annou merujuk kepada dua jenis kanak-kanak tanpa kerakyatan dalam kes ini, di mana salah seorang ibu bapa mereka ada warga asing, dan di mana kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara telah dijadikan anak angkat oleh ibu bapa di Malaysia.

Beliau juga menegaskan bahawa dalam kes kanak-kanak asing dijadikan anak angkat, ada kemungkinan Seksyen 9 dan Seksyen 25A Akta Pengangkatan Anak 1952 mengsahkan kanak-kanak itu, walaupun mereka masih perlu memohon kewarganegaraan.

Dalam membawa perkara itu ke mahkamah, Annou berkata beliau akan menggesa mahkamah untuk menggunapakai Perkara 14 dan Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

"Mengapa Perkara 15A? Kerana ia adalah satu peruntukan yang sangat khusus untuk mereka yang di bawah umur 21 tahun, di mana tahap (threshold) untuk memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15A adalah lebih rendah dan lebih mudah berbanding Perkara 14," katanya.

Tidak seperti Perkara 14, Perkara 15A tidak menyatakan syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk diberikan kewarganegaraan, katanya.

Di bawah Perkara 14, katanya, terdapat tahap (threshold) tertentu yang perlu dipenuhi untuk seseorang diberi kerakyatan, seperti alasan teknikal yang mengatakan kewarganegaraan biasanya mengikut sebelah ibu.

"Apa yang berlaku jika ibu anda adalah warga asing?

"Kerana, sejak kelahirannya, kanak-kanak itu telah makan nasi lemak, minum teh tarik, makan semua makanan Malaysia dan mahu menjadi warganegara Malaysia, jadi mengapa dia mahu menjadi warganegara negara lain, walaupun ibu adalah warga asing? " soal Annou.

Walaupun ada duluan, katanya, tidak dapat diramalkan bagaimana hakim-hakim akan membuat keputusan dalam kes-kes sedemikian.

"Dalam kebanyakan kes yang saya telah dikendalikan, kadang-kadang hakim Mahkamah Tinggi memberikan kewarganegaraan dan dalam beberapa kes mereka tidak memberikan kewarganegaraan.

"Sudah tentu, hakim-hakim akan mengatakan bahawa budi bicara muktamad (untuk memberikan kewarganegaraan), terletak di tangan menteri berkenaan," katanya.

Proses terlalu panjang

Jika mereka kalah kes mahkamah, kata Annou, beliau biasanya melakukan salah satu daripada dua perkara: beliau boleh sama ada merayu, yang mungkin mengambil banyak masa dan kosnya mahal, atau beliau boleh memohon kepada hakim untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya dia boleh pergi semula ke JPN dan memohon sekali lagi untuk mendapatkan kewarganegaraan.

"Tetapi sekali lagi, ibu bapa perlu menunggu lagi 12 hingga 18 bulan," katanya.

Beliau mengeluh bahawa masa yang diambil untuk keseluruhan proses ini adalah bermasalah, kerana bukan sahaja kanak-kanak itu tidak boleh menikmati faedah yang diberikan oleh kewarganegaraan dalam tempoh berkenaan tetapi juga, apabila mereka mencapai usia 21 tahun, mereka tidak lagi boleh memohon di bawah Perkara 15A.

Bagaimana pula dengan kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang belum berkahwin, di mana seorang daripadanya rakyat Malaysia dan seorang lagi warga asing?

"Kebanyakannya apabila mahkamah tidak membenarkan permohonan (untuk kewarganegaraan kanak-kanak), mereka berkata anda tidak berkahwin, jadi sebahagian daripada mereka (ibu bapa) berkahwin selepas anak itu dilahirkan.

"Tetapi dalam beberapa contoh, mahkamah masih menolak permohonan itu," katanya.

Jika dilihat ada kekurangan satu protokol standard yang melibatkan pemberian kewarganegaraan kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan yang dilahirkan di Malaysia, beliau berkata ia berkisar kepada budi bicara menteri dalam negeri.

Annou juga menegaskan bahawa Malaysia telah menandatangani Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak pada tahun 1995, di mana Perkara 7 menyatakan bahawa seorang kanak-kanak hendaklah didaftarkan sebaik sahaja selepas kelahiran dan hendaklah mempunyai hak untuk memperoleh kewarganegaraan.

"Dalam kata lain, jika seorang anak telah lahir di Malaysia, dia mempunyai hak untuk memperoleh kewarganegaraan mengikuti ibu bapanya.

"Malaysia mengesahkan konvensyen itu pada tahun 1995, yang bermakna kita perlu menguatkuasakan undang-undang kewarganegaraan kita seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti yang terdapat dalam Pasal 15A," katanya.

Sementara itu, peguam Latheefa Koya pula berkata Fasal 1 (e) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan sepatutnya melindungi orang daripada ketiadaan kewarganegaraan.

Fasal 1 (e) menyatakan bahawa seseorang itu adalah seorang warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang jika mereka "lahir di dalam Persekutuan yang bukan lahir sebagai warganegara mana-mana negara".

Ini bermakna, katanya, selagi kanak-kanak mempunyai sijil kelahiran untuk membuktikan mereka dilahirkan di Malaysia dan tidak ada cara untuk mengesan butiran ibu bapa kandung mereka, maka kanak-kanak itu hendaklah diberi kewarganegaraan.

"Sebenarnya, Perlembagaan Persekutuan mengenai kewarganegaraan adalah salah satu fasal yang terbaik digubal, tetapi ia adalah bagaimana ia ditafsirkan.

"Jadi apakah dasarnya? Baca (undang-undang) dalam cara yang paling ketat atau beri manfaat keraguan kepada kanak-kanak itu?" soal Latheefa.

Pada 16 Mac, Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak dua permohonan yang berasingan, satu oleh ibu bapa angkat dan satu lagi oleh seorang bapa kandung, yang memohon untuk memaksa Jabatan Pendaftaran Negara untuk memberikan kewarganegaraan kepada 'anak-anak' mereka.


[Baca berita penuh]

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS