Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Larangan perjalanan individu penting dalam siasatan SRC ditarik balik
Diterbitkan:  Mar 24, 2017 8:09 AM
Dikemaskini: 1:30 AM

Larangan perjalanan terhadap Pengarah Urusan SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil nampaknya telah ditarik balik, menurut laman web Jabatan Imigresen.

Dia dilaporkan disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen pada 22 Julai 2015 berikutan dakwaan oleh Wall Street Journal bahawa kira-kira AS$700 juta disalurkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Najib dikatakan tidak sedar bahawa SRC International memindahkan wang ke dalam akaun beliau pada tahun 2014 dan 2015.

WSJ juga mendakwa Nik Faisal memegang kuasa wakil ke atas akaun bank peribadi perdana menteri.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos 2015 menamakannya sebagai orang yang dikehendaki untuk disoal siasat, bersama dengan seorang lagi pengarah syarikat SRC, Suboh Md Yassin dan ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Memperbaharui lesen memandu

Pada Disember tahun itu, SPRM dapat merekodkan kenyataan dari Jho Low dan Suboh tetapi Nik Faisal tidak dapat dikesan.

Rekod awam menunjukkan bahawa Nik Faisal memperbaharui lesen memandu pada Ogos tahun lepas.

Mohamed Apandi pada Januari tahun lalu membersihkan Najib daripada sebarang salah laku atas alasan bahawa wang itu adalah "derma" dari seorang kerabat diraja Arab Saudi.

Bagaimanapun, kes itu telah berjalan termasuk di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura, di mana dana itu didakwa diubah melalui sistem kewangan di negara-negara berkenaan.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat percaya wang itu berasal dari 1MDB sementara pihak berkuasa Switzerland percayai sekitar AS$4 bilion telah disalahgunakan daripada syarikat dana itu dan syarikat bersekutu.

Najib telah menafikan sebarang salah laku atau mengambil dana awam atau keuntungan peribadi.

Nama Nik Faisal juga telah timbul dalam kes-kes pendakwaan yang berkaitan dengan skandal 1MDB di Singapura.

Dalam kes terhadap bekas pegawai bank BSI Yeo Jiawei, yang didakwa memudahkan pengubahan wang haram, ia telah mendedahkan bahawa Nik Faisal meluluskan pemindahan AS$11.95 dari SRC International kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh Tan Kim Loong, nama yang digunakan oleh Jho Low.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS