Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyifatkan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Osu Sukam gagal sebagai pemimpin ekoran kegiatannya dalam perjudian sehingga berhutang lebih RM7 juta.

Perdana Menteri berkata, pemimpin sepatutnya menunjukkan nilai-nilai yang baik dan boleh dicontohi iaitu kepimpinan melalui teladan.

"Pemimpin tak sepatutnya terlibat dengan kegiatan yang haram di segi agama dan tak bermoral dipandang masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan antarabangsa mengenai pengurusan pengetahuan di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Menurut laporan Bernama , Abdullah berkata, pemimpin mesti mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mencemarkan kredibiliti mereka.

Selasa lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Datuk Ian Chin menolak permohonan Ritz Hotel Casino Ltd dan R.H.C Ltd dari United Kingdom untuk mendaftarkan penghakiman yang diperolehi daripada Mahkamah Tinggi di England itu di dalam Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak mengikut Akta Pelaksanaan Penghakiman Timbal Balas, 1958.

Peguam tempatan yang mewakili kedua-dua kasino itu berkata semalam, beliau sedang menunggu arahan selanjutnya daripada kliennya sama ada akan memfailkan rayuan ataupun tidak terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, dalam usahanya mendapatkan balik hutang judi sebanyak RM7.14 juta daripada Osu.

PM: 'Saya dukacita'

"Saya dukacita dengar berita apa yang berlaku," katanya.

Abdullah berkata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman akan berbincang dengan Umno Sabah mengenai kedudukan Osu. Osu adalah ketua Umno bahagian Papar.

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata beliau akan menunggu keputusan Umno Sabah itu.

Katanya, pemimpin yang boleh dipercayai, dapat memimpin rakyat kepada kebaikan.

Menjawab soalan lain, Perdana Menteri berkata beliau gembira banyak negeri mahu mencapai taraf negeri maju.

Bagaimanapun, katanya mereka hendaklah menjadikan sembilan cabaran di bawah Wawasan 2020 sebagai penunjuk aras bagi mencapai matlamat negeri maju.

Antara cabaran Wawasan 2020 ialah mengekalkan kestabilan makroekonomi, mengambil langkah membasmi kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat, melaksanakan pertumbuhan yang menumpukan daya pengeluaran, meningkatkan daya persaingan dan menyediakan asas perindustrian untuk masa depan dan menggalakkan pengembangan sumber tenaga.

Cabaran lain ialah menggalakkan pembangunan teknologi maklumat, memesatkan proses perindustrian, menentukan pembangunan yang terus kekal, memperbaiki mutu hidup, mengatasi masalah sosial, menyemai nilai-nilai moral dan etika dan menentukan corak perubahan pentadbiran dalam sektor awam.