Penjelasan MITI: 51,713 AP dikeluarkan tahun lalu
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjelaskan bahawa ia mengeluarkan 51,713 Permit Import (AP) tahun lalu dan bukannya 67,000 AP seperti yang didakwa oleh Penasihat Proton dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan menterinya, Datuk Mah Siew Keong, ketika memberikan perangkaan itu berkata: "Saya hanya mahu memperjelaskan angka rasmi."
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara pembukaan Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia (MIMF) Ke-16 di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam satu sidang akhbar awal minggu ini, Dr Mahathir mendakwa, sejumlah 67,000 AP dikeluarkan tahun lalu, tetapi hanya 12,600 diberikan kepada 82 syarikat manakala sebahagian besarnya 54,000 AP telah diberikan kepada 20 syarikat.
Antara isu lain yang ditimbulkan oleh Dr Mahathir ialah pemberian AP yang ditumpukan hanya kepada segelintir syarikat, dasar automotif kerajaan, dan kemasukan kereta luar negara pada harga yang sangat rendah hingga mengurangkan daya saingan kereta nasional.
Pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata mesyuarat kabinet semalam telah mengarahkan Datuk Seri Rafidah Aziz menulis surat kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjawab semua isu yang dibangkitkannya berhubung dasar automotif kerajaan.
Abdullah Ahmad berkata, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu "perlu mejawab kerana isu-isu itu adalah berkenaan kementerian beliau."
Antara isu-isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir ialah tumpuan pengeluaran Permit Kelulusan (AP) kepada segelintir syarikat, dasar auto kerajaan dan juga kemasukan kereta asing pada harga yang amat rendah yang mengurangkan daya saing kereta nasional.
Bagaimanapun, Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan kerajaan tidak mendedahkan nama-nama pemegang AP kekal tidak berubah.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now