Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas pelajar sarjana Siti Noor Aishah ditangkap, sekali lagi
Diterbitkan:  Mar 28, 2017 2:19 PM
Dikemaskini: Mar 30, 2017 10:00 AM

Bekas pelajar sarjana, Siti Noor Aishah Atam ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan kini ditahan di penjara Kajang.

Tangkapan dan penahanan itu dikuat-kuasakan semalam, selepas beliau hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Tindakan itu susulan rayuan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau pada September tahun lalu kerana memiliki 12 buah buku.

Siti Noor Aishah sebelum ini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1956 (Poca) dan Sosma.

"Pada saya, dia ditahan berulang kali, sebelum mahkamah dapati dirinya bersalah terhadap sebarang tuduhan.

“Ini ibarat hukuman sebelum bersalah. Hingga terpaksa (menggunakan) kedua-dua Sosma dan Poca," kata peguamnya, Mohd Kamarulzaman A Wahab kepada Malaysiakini hari ini.

Siti Noor Aishah, 29, pertama kali ditahan pada Mac tahun lalu, di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Sosma, kerana memiliki 12 buah buku yang didakwa berkaitan dengan kumpulan pengganas.

Pada bulan berikutnya, dia didakwa di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan tidak mengaku bersalah memiliki buku-buku berkenaan, selepas kes itu dibicarakan.

Siti Noor Aishah, seorang bekas pelajar sarjana Usuluddin, Universiti Malaya, berkata beliau menggunakan buku-buku berkenaan untuk penyelidikan ijazah sarjananya.

Selepas dia ditangkap pada Mac tahun lalu, Universiti Malaya memecatnya, kerana gagal menghadiri kelas.

Kamarulzaman berkata tiada satu pun buku diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri, ketika itu, mahupun sekarang.

Pada bulan September tahun lalu Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Siti Noor Aishah daripada semua pertuduhan atas alasan tiada kes prima facie dibuktikan terhadapnya.

Pada hari yang sama, beliau dibebaskan, Siti Noor Aishah ditangkap semula di bawah Poca dan ditahan selama 60 hari.

Sebaik dibebaskan daripada Poca, beliau diletakkan di bawah tahanan rumah, dengan peranti pengawasan elektronik dipasang. Beliau juga tidak dibenarkan untuk meninggalkan daerah Surah di Dungun, Terengganu, tanpa kelulusan polis.

"Kes berkenaan dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk dia membela diri, tetapi sebaliknya dia ditahan lagi.

“Kes ini balik semula kepada status quo, tanpa sebarang ikat jamin dibenarkan sementara menunggu perbicaraan," kata Kamarulzaman tentang penangkapan itu semalam.

Lihat Komen
ADS