Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP bersatu sokong RUU kesalahan seksual terhadap kanak-kanak

Anggota parlimen dari kerajaan dan pembangkang bergabung dalam satu sidang media hari ini bagi menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, yang antara lain akan menangani isu bahan lucah melibatkan kanak-kanak.

Ia dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman.

Ketika sidang media, Azalina berkata beliau yakin penyertaan semua anggota parlimen akan memainkan peranan ketika perbahasan bagi menambahbaik RUU itu dan seterusnya menyokong rang undang-undang terbabit.

"Kita terbuka dengan cadangan daripada semua ahli parlimen. Di peringkat jawatankuasa juga mungkin ada seksyen yang boleh dipinda.

"Semua ahli parlimen akan bersatu dalam perkara ini. Kepada pelaku (seksual kanak-kanak) di luar sana, anda boleh lari tetapi tidak akan terlepas," kata Azalina.

Antara yang menyertai sidang media itu adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Nurul Izzah Anwar (PKR - Lembah Pantai), Teo Nie Ching (DAP - Kulai), Teresa Kok (DAP - Seputeh) dan Datin Mastura Mohd Yazid (BN - Kuala Kangsar)

Jika diluluskan, RUU itu akan memperkenalkan pelbagai kesalahan berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, dengan hukuman penjara maksimum 30 tahun, denda maksimum RM20,000 dan paling kurang 6 sebatan.

Ia mencakupi 7 perkara, iaitu pornografi kanak-kanak, pengantungan kanak-kanak (child grooming), serangan seksual fizikal dan bukan fizikal, hukuman terhadap orang yang mempunyai perhubungan amanah (seperti ahli keluarga dan guru) yang terlibat atau bersubahat dan penekanan terhadap keterangan saksi kanak-kanak.

'Kami akan buru anda'

Selaras dengan RUU ini, kata Azalina lagi, beberapa seksyen kanun keseksaan akan turut dipinda dan mahkamah khas akan diwujudkan.

"(Mahkamah dan pindaan) akan membantu pelaksanaan dan aplikasi undang-undang ini. Diharapkan kes akan dapat diselesaikan dengan cepat dan tidak lagi ditangguh sehingga bertahun," katanya.

Katanya, RUU ini juga mencakupi pelbagai aspek, terutama soal pelaku seks dan mereka yang bersubahat.

"Misalnya mereka yang membantu dalam pornografi kanak-kanak, walaupun tidak terlibat secara langsung. Begitu juga orang seperti guru dan ahli keluarga yang menyembunyikan maklumat.

"Kami akan memburu anda, tiada siapa akan terlepas," katanya.

Sementara itu, Rohani menyifatkan RUU ini melengkapi Akta Kanak-kanak 2001 yang turut dipinda tahun lalu.

"Akta Kanak-kanak lebih kepada melindungi golongan itu, tetapi pelaku terlepas. Maka apa yang tidak disentuh dalam akta itu, ada dalam RUU ini," katanya.

Nurul Izzah pula menggesa semua ahli parlimen menyokong RUU ini demi membanteras jenayah tersebut yang sering berlaku.

"Walaupun kita ada perbezaan dalam soal mendasar, alhamdulillah kita dapat bersama untuk melindungi kanak-kanak. Semua ahli parlimen wajib mendukung RUU ini," katanya.

Lihat Komen
ADS