Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Selepas membuat catatan jujur di Facebook mengenai suatu kemalangan maut dan ngeri, seorang guru kemudian tidur dengan perasaan yang rencam.

Sebabnya, salah seorang remaja yang terbunuh dalam kemalangan itu adalah bekas anak muridnya. Kematian tetaplah kematian, tetapi kematian melibatkan seseorang yang dikenali memberi makna pilu yang lebih mendalam dan membekas.

Guru terbabit barangkali tidur dengan bertemankan bayangan-bayangan tentang bekas pelajarnya sebelum matanya terpejam membawa lena. Namun dia terjaga pada subuh keesokan hari dengan dada yang berdebar-debar.

Status terus terang guru itu tadi memang tidak mencapai tahap tular, tapi dikongsi agak ramai orang di Facebook.

Pada pagi itu - lama sebelum sempat dia menjejakkan kaki ke sekolahnya - guru terbabit melihat telefon bimbitnya. Dia diberitahu pegawai atasannya, status di Facebook dia malam tadi sudah sampai ke pengetahuan pejabat pendidikan daerah.

Guru itu bukanlah mengutuk kerajaan pun. Dia cuma menyatakan pandangan dan rasa tidak puas hatinya dengan kemalangan jalan raya yang berlaku dan meragut nyawa salah seorang bekas anak muridnya.

Tidak dapat dipastikan sama ada dia dikenakan tindakan disiplin, ditegur atau dinasihat selepas itu. Apa yang pasti, pagi itu dadanya berdebar-debar.

Macam air di daun keladi

Memang sekarang bukanlah zaman Pendeta Za'ba. Ini adalah zaman hampir sesiapa saja boleh menganggap diri mereka sebagai pendeta dengan mudah.

Media massa adalah wahana untuk kebanyakan orang menjadi cerdik atau sekurang-kurangnya berasa diri sendiri jadi cerdik.

Tetapi guru tetaplah guru. Tanpa mereka, tidak dapat dibayangkan bagaimana rupa negara dan masyarakat pada hari ini.

Guru - bersama penulis dan agamawan reformis - menjadi penggerak utama menanam serta menyuburkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat sejak era Tanah Melayu dijajah.

Justeru kita mengenali dan menghargai jasa pada Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim itu. Sesiapa yang menjadi guru dipandang tinggi dan dihormati masyarakat.

Pada guru orang ramai dicerdaskan, dan melalui sekolah, semangat kebangsaan ditanam sehingga semakin ramai rakyat menjadi celik dan tidak boleh dijadikan bidak catur oleh penguasa dengan mudah.

Mengharapkan kemerdekaan negara dan perubahan nasib rakyat di tangan para birokrat semata-mata pada ketika itu kira-kira samalah dengan mengharap air yang dituang meresap ke daun keladi.

Masa berubah. Sehingga era 1980-an guru secara umum masih kekal dihormati dan mendapat tempat yang baik dalam masyarakat.

Selepas itu nasib guru bagai langit - sebab ia tidak selalu cerah. Pada ketika malang mereka dijadikan seolah-olah tempat melepas geram dan meletakkan hampir semua kesalahan.

Jika keputusan peperiksaan tidak memuaskan, gurulah yang dipersalah. Kalau ada sekolah yang bermasalah, guru jugalah yang dituding.

Andai guru tidak bertepuk tangan di depan orang kenamaan yang berucap pun, khabarnya mereka dimarahi. Dan mungkin diarah supaya berlatih bertepuk-tepuk tangan.

Kata-kata yang keluar dari mulut guru ketika ini mestilah sesuai dengan kehendak orang tertentu. Atau sekurang-kurangnya dianggap menggembirakan orang tertentu.

Tak setuju mesti dicap pembangkang

Bercakap memberi pendapat pun kadang-kadang ditegur. Pada ketika tertentu, guru seolah-olah diletakkan dalam keadaan mesti bungkam, atau tidak lebih daripada sekadar alat perakam audio visual yang mesti bercakap serta bertindak mengikut acuan yang ditetapkan orang atasan.

Kekangan itu berlaku ketika guru dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk mencerdaskan rakyat.

Dan seperti biasa, tanggapan kebanyakan kita ialah, menyanggah atau memberi pendapat tidak sehaluan dengan jabatan atau kementerian adalah petanda mutlak bahawa seseorang itu penyokong parti pembangkang.

Dengan kata lain, membantah itu petanda penyokong pembangkang.

Ketika guru bertungkus-lumus mencerdaskan pelajar, sasaran ditetapkan supaya keputusan peperiksaan adalah sesuatu yang mesti boleh dibanggakan. Oleh siapa? Oleh pihak sekolahlah.

Siapa yang akan mendapat nama di sebalik keputusan peperiksaan "yang membanggakan" itu? Anda bolehlahh fikir sendiri.

Barangkali memang wajar guru tidak boleh aktif secara langsung dalam politik. Namun jika ia begitu, larangan sepatutnya dilaksanakan secara menyeluruh dan saksama.

Jangan benarkan guru menjawat sebarang kedudukan dalam mana-mana parti, waima parti yang memerintah.

Pada masa sama, guru sebagai pembentuk acuan yang kita serahkan keyakinan untuk membimbing anak-anak wajar diberi kebebasan berfikir. Membonsaikan minda guru sama seperti menyediakan petaka pada masa depan negara.

Ia mengingatkan kita kepada sebahagian daripada lirik lagu Kisah Rumah Tangga oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee:

Oh disuruh duduk: duduk
Dijerit-jerit, dibentak-bentak
Suaminya dulu hensem
Rambut panjang dah jadi botak
Hu la la!

Membenarkan kongkongan berterusan serta menyebarkan ketakutan ke atas guru – dan kakitangan awam lain secara umum – adalah simbol bekunya mentaliti para pegawai kanan yang ada di negara kita.

Dan malangnya di tangan merekalah diberikan kepercayaan untuk mengelola dan mentadbir kita dengan dasar-dasar yang ada.


AL-ABROR MOHD YUSUF wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS