Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Usul tergempar kes Birdnest ditolak speaker
Diterbitkan:  Mar 29, 2017 7:15 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

Usul tergempar untuk membahaskan isu melibatkan syarikat Maxim Birdnest Sdn Bhd, yang kini disiasat kerana didakwa terbabit dalam aktiviti pemerdagangan manusia, ditolak di parlimen hari ini.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tergempar Charles Santiago (DAP-Klang) di kamar beliau atas alasan pihak berkuasa telah menyiasat kes itu dan telah mengambil tindakan.

Usul itu, katanya bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 23(1)(i), yang menyatakan sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikeluarkan berkenaan betul atau tidaknya penerangan-penerangan dalam surat-surat khabar.

"Oleh yang demikian, saya menolak usul yang berhormat dalam kamar," katanya dalam surat kepada anggota parlimen berkenan.

Charles menggesa Dewan Rakyat meluluskan satu resolusi yang menggesa kerajaan persekutuan mengambil tindakan terhadap Maxim Birdnest dan penjawat awam yang bersekongkol dengan perhambaan moden dan buruh paksa.

Beliau berpendapat isu itu melibatkan kepentingan awam, maka ia perlu dibahaskan di parlimen mengikut Seksyen 18 (2) Peraturan Mesyuarat.

Charles berkata usul itu ditolak oleh Pandikar atas sebab-sebab yang tidak masuk akal dan mendakwa Speaker tidak menerima nasihat sewajarnya.

"Keputusannya melemahkan peranan parlimen sebagai semak dan imbang kepada eksekutif," katanya.

Kisah pekerja asing dari Indonesia yang didakwa dieksploitasi dan dizalimi oleh Maxim Birdnest Sdn Bhd baru-baru ini diketengahkan oleh Malaysiakini dan Tempo dari Indonesia.

Selasa lalu, pihak berkuasa menyerbu kilang dan menahan pemilik serta beberapa pekerja di premis itu bagi menyelamatkan pekerja Indonesia terbabit.

Lihat Komen
ADS