Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Malaysia tidak memutuskan hubungan dengan Korea Utara setelah republik itu memenuhi tuntutan-tuntutan yang ditetapkan dalam proses rundingan sehingga membawa kepada pelepasan sembilan rakyat Malaysia yang menjadi tahanan di Pyongyang sejak lebih sebulan lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata walaupun berdepan kesukaran namun penyelesaian yang dicapai berjaya memenuhi dua objektif rundingan yang ditetapkan kerajaan.

Kedua-dua objektif itu ialah memastikan keselamatan kesemua sembilan rakyat yang ditahan dan menjamin soal kedaulatan negara tidak diketepikan oleh sesiapapun.

"Oleh itu, kita harap Korea Utara jangan lagi buat angkara seperti ini lagi kerana ia boleh memudaratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara," katanya ketika bercakap kepada wartawan Malaysia di hujung lawatan dua harinya di Chennai, yang berakhir hari ini.

Perdana menteri kini sedang dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke India, dan akan berangkat ke New Delhi lewat petang ini.

Ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia-Korea Utara dalam dua bulan terakhir ini sedikit reda apabila sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara susulan perbalahan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang selamat tiba di tanah air, awal pagi ini.

Ketegangan di antara Kuala Lumpur dan Pyongyang tercetus susulan pembunuhan Kim Jong-nam, 46, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) di sini pada 13 Feb.

Menjelas lanjut, Najib berkata ketika melakukan rundingan itu, banyak perkara yang dilalui oleh jawatankuasa yang ditubuhkan termasuk dipanggil untuk mengadakan mesyuarat seawal 3 pagi selain perubahan-perubahan dibuat pada saat-saat akhir oleh pihak Korea Utara.

"Namun, pada akhirnya persetujuan yang dicapai telah dihormati oleh Korea Utara dan kesemua sembilan rakyat kita telah selamat pulang," katanya.

Ketika ditanya sama ada hubungan diplomatik antara kedua-dua negara mampu pulih, Najib berkata kedua-dua pihak perlu berpegang kepada prinsip diplomasi serta menghormati Konvesnyen Vienna sekiranya mahu menjamin hubungan diplomasi itu dapat diteruskan.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung dua lelaki yang dipercayai suspek pembunuhan Jong-nam yang dikatakan bersembunyi di kedutaan negara itu, Najib berkata kedua-dua mereka dipercayai telah pulang ke negara asal.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua lelaki itu iaitu Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Hyon Kwang-song, 44 dan seorang pekerja syarikat penerbangan Korea Utara, Kim Uk-il, 37 telah disoal siasat polis sebelum ini.

Najib berkata perkara itu merupakan sebahagian daripada persetujuan yang dicapai dengan Korea Utara, iaitu polis perlu dibenarkan melakukan temu bual dan menyoal siasat mereka dan pihak Korea Utara telah membenarkan perkara itu dibuat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS