Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof meminta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberitahu pihaknya mengenai kementerian yang mampu memberikan pra-kelulusan bagi projek bernilai berbilion ringgit dalam tempoh 24 jam.
"Kami tidak menyedari terdapat mana-mana kementerian Persekutuan yang akan memberikan pra-kelulusan bagi projek-projek bernilai berbilion ringgit dalam tempot 24 jam selepas permohonan dibuat tanpa sebarang dokumen sokongan, seperti yang didakwa oleh Lim.
"Kami meminta Lim untuk memberitahu kami kementerian manakah yang telah berbuat demikian supaya kami dapat belajar dari kementerian tersebut," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Lim sebelum ini yang mahu Fadillah membantu kerajaan negeri Pulau Pinang dengan meluluskan pada dasarnya rancangan kerajaan negeri untuk membina jambatan ketiga bebas tol.
Dua hari yang lalu, Lim melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Fadillah mengenai jambatan ketiga Pulau Pinang, yang katanya dibuat secara 'tiba-tiba' dan didakwanya bermotifkan politik.
"Saya terkejut beliau tiba-tiba buat kenyataan. Jelas ia kenyataan bermotifkan politik.
"Tetapi saya tidak mahu memendam persepsi negatif terhadapnya, saya akan lihat secara positif dan tidak akan mempersoalkan keikhlasan beliau," kata Lim pada sidang media..
Beliau berkata Fadillah boleh membantu kerajaan negeri Pulau Pinang dengan meluluskan rancangan kerajaan negeri untuk membina jambatan ketiga bebas tol dan bukannya terowong dasar laut berharga RM6.3 bilion, bagi menghubungkan pulau itu ke Butterworth.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kementeriannya mempunyai pengalaman dan rekod jangka masa panjang serta kekal komited untuk membantu Lim berkenaan projek kerajaan negeri bernilai RM6.34 bilion yang sudah lama tertangguh ini.
"Oleh yang demikian, kami meminta Lim untuk mengaturkan mesyuarat dengan kementerian pada minggu hadapan dan membawa bersama kajian yang telah 87 peratus siap bernilai RM 305 juta itu," katanya lagi.
Sehingga hari ini, jelas Fadillah, kementeriannya yang masih belum menerima walau sehelai kertas sokongan bagi menyokong permintaan kerajaan negeri mengenai kelulusan jambatan ketiga Pulau Pinang dan bukannya terowong bertol selama 30 tahun.
Lim pernah menghantar permohonan dan selepas kementerian itu meminta dokumen sokongan sebanyak lima kali, beliau mengakui pada Ogos 2016 kajian itu masih belum siap dan akan menghantar hasil kajian tersebut pada penghujung tahun lepas atau awal tahun ini, ujar Fadillah.
"Memandangkan suku pertama tahun ini sudah tamat dan melepasi tarikh akhir yang disebutkan Lim, kami berhak untuk bertanyakan mengenai sebarang perkembangan," katanya lagi.
