Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak berkata peningkatan dera melibatkan suami antara sebab Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (pindaan 2012) dipinda.

Bercakap selepas pindaan itu dibacakan kali pertama hari ini, menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata statistik kerajaan pada tahun 2014 hingga 2016, mencatatkan sebanyak 15,617 kes keganasan rumah tangga di negara ini dengan 26 peratus membabitkan penderaan terhadap suami.

“Orang sentiasa letak persepsi bahawa akta ini hanya melindungi isteri. Sedangkan ia melindungi semua anggota keluarga, termasuk keluarga mertua, anak.

“Inilah takrif keganasan rumah tangga yang terlibat dalam sesebuah rumah tangga.

“Satu lagi tren kes keganasan yang diterima 26 peratus melibatkan suami kena dera. Saya nak membawa ke perhatian dalam rang undang-undang ini,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Menurutnya, pindaan ke atas akta ini akan dapat memberikan keadilan kepada mangsa.

Pindaan itu, antara lain membolehkan mangsa membuat laporan kepada Talian Kasih (15999) beroperasi 24 jam setiap hari, dua jam selepas kejadian bagi mendapatkan perintah perlindungan.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) yang sah selama seminggu dan pihaknya akan turut bertemu dengan mangsa bagi tindakan selanjutnya.

Manakala sekiranya kes keganasan berlaku pada hujung minggu, pihaknya akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) dan ia sah di sisi undang-undang meskipun mahkamah tutup pada hari tersebut.

“Kita boleh mengeluarkan EPO. Ini selalu berlaku pada kami, sebelum ini di bawah akta yang ada, kami tak boleh buat apa-apa. Kebiasaannya keganasan ini berlaku hujung minggu dan kita tak boleh buat IPO sebab mahkamah tutup di hujung minggu,”katanya.

Rohani turut menambah sekiranya IPO dan EPO telah dilaksanakan, pihak JKM serta mahkamah turut akan mengeluarkan perintah tinggal berasingan kepada mangsa, ia bagi memberi perasaan selamat terhadapnya.

“Contohnya (dulu) hak duduk satu rumah itu kepada suami, isteri walaupun salah seorang darinya adalah pelaku. Kami dapati ia tak dapat selesaikan apa-apa masalah sebab kami dapati ada satu rumah.

“Jadi pindaan ini, pelaku diminta keluar rumah. Tak boleh duduk satu rumah supaya beri perasaan selamat kepada mangsa,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS