Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bengang dengan tindakan polis yang sekali lagi membatalkan permit untuk perbahasannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mencadangkan supaya majlis itu akan diadakan di auditorium polis di Cheras, atau lebih baik lagi, di Antartika.

Ini kerana katanya, di Antartika "penguin tidak faham Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, dan oleh itu, tidak akan berlaku rusuhan."

"Saya difahamkan bahawa auditorium (polis) besar, mungkin kita boleh minta pihak polis untuk menganjurkan dialog ini," katanya pada sidang akhbar di bilik media Parlimen petang ini.

Menteri itu berkata beliau sanggup mengadakan debat tersebut di luar negara, sama ada di London, Greenland atau malah di Antartika.

“Kalau kat Malaysia ini tak boleh, kita buat kat Antartika, kat situ banyak penguin,” katanya.

Nazri mengulas tindakan polis yang membatalkan perdebatan berkenaan atas alasan keselamatan selepas memberi lampu hijau pada mulanya supaya majlis diadakan di pejabat Sinar Harian di Shah Alam pada 7 April.

Ini kali kedua polis membatalkan perdebatan itu, yang pada asal sepatut diadakan di Padang Rengas pada 25 Mac lalu.

Nazri berkata beliau bersedia untuk berdebat pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh Mahathir, dan memberi amaran kepada pemimpin berusia 91 tahun itu supaya tidak melarikan diri.

"Saya dedikasikan lagu ini kepadanya: I will follow you," katanya.

Namun Nazri yang Ahli Majlis Tertinggi Umno menolak cadangan debat diadakan di sebuah hotel.

Beliau juga tidak terbuka dengan idea supaya majlis itu diadakan secara tertutup tetapi disiarkan secara langsung melalui internet.

“Kalau polis tak yakin dgn tahap intelektual mereka, itu bukan masalah saya, tapi saya percaya orang ramai tidak akan menjadi masalah.

“Mana ada orang lepas wacana nak bertumbuk? Agaknya polis macam tu, tiap-tiap kali ada demonstasi nak bertumbuk,” katanya dengan nada menyindir.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS