Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PARLIMEN | PAS berkata presidennya tidak akan memohon penangguhan sekalli lagi bagi rang undang-undang meminda Akta 355 jika diberi ruang membentangkannya kali ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata tidak ada sebab untuk mereka menangguhkan usul rang undang-undang itu sekali lagi, seperti yang pernah dilakukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) sebelum ini.

"Tidak, mengapa kita nak tangguhkan? Kami sedang menunggu peluang untuk mengemukakannya," kata Takiyuddin kepada Malaysiakini hari ini.

RUU355 dibawa Abdul Hadi melalui peruntukan rang undang-undang persendirian Dewan Rakyat dalam usaha PAS memperkasa mahkamah syariah di negara ini, namun dibantah sesetengah pihak.

Sebahagian mendakwa pindaan itu membuka jalan kepada pelaksanaan hukum hudud, manakala pengkritik lain melihatnya sebagai tergesa-gesar serta mempunyai maksud politik tersirat.

Peruntukan itu membabitkan had hukuman maksimum bagi kesalahan syariah, membabitkan penjara 30 tahun, 100 kali sebatan dan denda RM100,00.

Pada 26 Mei 2016 lalu - iaitu hari terakhir sidang parlimen sesi berkenaan - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan usul persendirian Abdul Hadi itu dibawa ke depan dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Usul Azalina kemudian disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Abdul Hadi bagaimanapun memohon perbahasan itu ditangguhkan ke sesi akan datang, yang berlangsung mulai 17 Oktober 2016.

Sudah sedia berbahas

Pada 24 November Abdul Hadi sekali lagi memohon supaya pembentangan usul RUU355 itu ditangguhkan sehingga sidang kali ini.

Kata Abdul Hadi penangguhan berkenaan perlu bagi membolehkan pindaan dilakukan dan beliau akan menjelaskan butirannnya pada sidang kali ini.

Sidang Dewan Rakyat akan berakhir lusa.

Takiyuddin juga berkata, PAS tidak pernah berbincang atau merancang bagaimana usul berkenaan perlu dibentangkan.

"Tidak, tidak. Kami tidak pernah berbincang dengan BN. Kini terserah kepada speaker untuk membenarkan usul ini dibawa," katanya.

Usul Abdul Hadi itu memang dijangka akan dibentangkan pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat kali ini.

Malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinannya namun percaya proses undian tidak akan berlangsung.

"Bagaimanapun terserah kepada speaker untuk menentukan tatacara dalam persidangan dewan," katannya.

Takiyuddin berkata, dua penangguhan sebelum ini dibuat bersebab.

Kali pertama, katanya, ia ditangguhkan supaya semua anggota parlimen berpeluang mendapatkan maklumat mengenai cadangan yang dibawa melalui usul berkenaan.

Kedua-dua pembentangan itu juga, kata Takiyuddin, dibuat pada hari terakhir persidangan dan tidak dapat dihabiskan jika pembentangan diteruskan.

Kali ini, kata beliau, jika prosesnya tidak dapat dihabiskan pun, sekurang-kurangnya usull berkenaan boleh dibahas.

"Kami bersedia untuk membahaskannya," kata beliau.

Kali ini, kata Takiyuddin, tidak ada lagi sebarang pindaan dibuat pada usul berkenaan, seperti yang berlaku pada sesi lalu.

Beliau juga membayangkan jika Speaker Dewan Rakyat memberi kebenaran usul itu dibahaskan, ia akan diteruskan sehingga selesai.

"Kalau speaker kasi-lah," katanya.

Lihat Komen
ADS