Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kahwin lepas rogol': Rahman Dahlan terkejut, anggap keji
Diterbitkan:  Apr 5, 2017 12:30 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan kenyataan ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya mengenai perkahwinan bawah umur dan pernikahan antara perogol dan mangsa.

"Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup, berimpian dan berseronok.

"Walaupun menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan kehidupan yang baik untuk anak-anak, kerajaan dan penggubal undang-undang bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan kanak-kanak Malaysia," kata Rahman dalam catatan di Facebook, malam tadi.

Undang-undang digubal untuk melindungi kanak-kanak terutamanya gadis bawah umur, jelas Abdul Rahman, dengan memetik Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dengan ia dianggap rogol berkanun bagi lelaki untuk mempunyai hubungan seks dengan gadis bawah umur 16 tahun, dengan atau tanpa izinnya .

"Oleh itu, adalah keji di abad ke-21 ini untuk mencadangkan perogol - yang sepatutnya didakwa sejak awal lagi - berupaya untuk lari daripada hukuman dengan hanya mengahwini mangsa," katanya.

Semalam, Shabudin memberitahu Dewan Rakyat bahawa perkahwinan antara mangsa rogol dan perogol mungkin menjadi 'ubat' kepada masalah sosial.

Jelas beliau, walaupun rogol adalah jenayah, undang-undang tidak menghalang mangsa rogol daripada berkahwin dengan individu merogolnya.

"Mungkin dengan sebab perkahwinan itulah mereka dapat melalui satu kehidupan yang lain, yang lebih sihat, yang lebih baik dan seorang isteri yang dirogol tadi, kalau dia dapat berkahwin dia takkan melalui satu jalan kehidupan masa depan yang gelap.

"Sekurang-kurangnya dia ada suami dia, ada orang yang boleh jadi suaminya pada ketika itu. Ini adalah satu remedi kepada masalah sosial yang berlaku," katanya.

Shabudin berkata demikian mengulas cadangan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) untuk meminda Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak bagi mengharamkan perkahwinan bawah umur.

Teo menyebut beberapa contoh, termasuk kes seorang lelaki di Port Dickson yang mengahwini remaja berusia 14 tahun dan kemudian memaksa isterinya itu merakam dia merogol adiknya berusia 11 tahun.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS