Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azalina nafi perogol boleh terlepas hukuman
Diterbitkan:  Apr 5, 2017 3:25 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata seseorang perogol kanak-kanak di bawah umur 16 tahun tidak boleh terlepas daripada pendakwaan dengan mengahwini mangsa.

"Undang-undang memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak yang berumur 16 tahun ke bawah sama ada secara rela atau dipaksa tetap dikategorikan sebagai rogol," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau membuat kenyataan tersebut susulan pandangan Ahli Parlimen BN Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya yang mengatakan undang-undang tidak menghalang perkahwinan antara mangsa rogol di bawah umur dan pelakunya.

Malah, katanya, dengan perkahwinan itu juga ia mungkin boleh menjadi ubat bagi merawat penyakit sosial.

Ahli Parlimen pembangkang ketika membahaskan Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 bagaimanapun menimbulkan kebimbangan bahawa perogol mungkin mengambil jalan keluar dengan mengahwini mangsa untuk melarikan diri daripada pendakwaan.

Rang undang-undang itu diluluskan semalam.

Azalina berkata dalam kes rogol bawah umur, pelaku tersebut tidak akan terlepas daripada hukuman sekiranya melakukan hubungan seks dengan mereka yang berumur 16 tahun ke bawah dan boleh didakwa di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

"Isu ini tidak seharusnya diputar-belitkan oleh mana-mana pihak kerana ia perlu ditangani bersama untuk masa depan generasi akan datang.

"Sebaik lulusnya Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 semalam diharapkan isu yang melibatkan kanak-kanak dapat ditangani dengan lebih berkesan," katanya.

Lihat Komen
ADS