Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CJ baru dikenali kuat bekerja, cepat buat keputusan

Di kalangan pengamal undang-undang, Ketua Hakim Negara yang baru dilantik, Tan Sri Md Raus Sharif dikenali sebagai seorang hakim yang kuat bekerja serta cepat membuat penghakiman.

Ketika beliau menjadi presiden Mahkamah Rayuan - jawatan No 2 dalam badan kehakiman - Raus bukan sahaja mempengerusikan kes di Mahkamah Persekutuan, tetapi juga di Mahkamah Rayuan.

Sebelum dilantik sebagai ketua hakim negara ke-14, beliau biasanya mendengar dan melupuskan kes-kes di Mahkamah Rayuan pada hari Jumaat atau menjadi sebahagian daripada panel Mahkamah Rayuan jika beliau tidak mendengar kes di mahkamah tertinggi.

Raus juga dilihat secara peribadi mengendalikan pengurusan kes bagi sesetengah kes di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Biasanya, kes-kes ini adalah kes lama yang masih belum dilupuskan atau didengar.

Kerana beliau telah mencapai umur 66 tahun - umur persaraan wajib bagi hakim - Raus tidak dijangka lama berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara. kontraknya tamat pada 4 Ogos.

Timbul persoalan mengenai apa yang sempat dilakukan beliau dalam tempoh yang singkat itu. Raus percaya bahawa hakim-hakim di negara ini bekerja sebagai satu pasukan dan itu yang lebih penting daripada tempoh perkhidmatan beliau.

"Tempoh perkhidmatan saya adalah perkara lain. Tetapi seperti yang telah saya katakan, saya akan memberi yang terbaik," kata Raus, sambil menambah keutamaan beliau adalah untuk mempercepatkan pendengaran kes-kes jenayah dan menyelesaikan tunggakan kes.

Raus dilahirkan di Rembau, Negeri Sembilan dan belajar sehingga Tingkatan Enam di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star), Ipoh.

Beliau adalah antara kumpulan perintis lulusan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya pada tahun 1976 dan memperolehi Ijazah Sarjana Undang-undang dari London School of Economics pada tahun 1987.

Setelah tamat pengajian pada tahun 1976, Raus memulakan kerjayanya sebagai 'attachment officer' mahkamah majistret di Court Hill. Beliau kemudiannya dilantik menjadi majistret di Pontian, Johor.

Sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1994, beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya di Kelantan dan Terengganu dan berkhidmat sebagai presiden Mahkamah Sesyen.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai penasihat undang-undang kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, kerajaan negeri Melaka dan kerajaan negeri Kelantan.

Beliau dilantik sebagai hakim penuh pada tahun 1996 dan dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada tahun 2008. Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan. Beliau menyandang jawatan presiden Mahkamah Rayuan pada tahun 2011.

Raus dikenali di kalangan pemberita mahkamah sebagai hakim yang membuat penghakiman yang pendek dan mudah difahami. Penghakiman beliau jarang melebihi 40 muka surat.

Selain mendengar perbicaraan kes Liwat II, yang sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Raus juga merupakan panel hakim dalam penghakiman majoriti dalam kes "Allah" yang melibatkan majalah mingguan Katolik, "The Herald".

kes-kes menarik yang dipengerusikan oleh Raus termasuk pertikaian tuntutan ke atas mayat pendaki Gunung Everest, M Moorthy. Raus di Mahkamah Tinggi pada 28 Disember 2005, memutuskan bahawa memandangkan Mahkamah Syariah telah memutuskan bahawa Moorthy adalah seorang Muslim, maka dia akan dikebumikan mengikut Islam.

"Mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa dan tidak boleh bertindak untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Syariah," kata Hakim Md Raus, sambil menambah bahawa Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa semua perkara yang berkaitan dengan Islam perlu dikendalikan oleh Mahkamah Syariah.

Keluarga Moorthy telah berhujah bahawa walaupun dia secara sah seorang Islam, tetapi dia tidak pernah mengamalkan agama itu dan pengebumiannya perlu mengikut upacara agama Hindu.

Di Mahkamah Persekutuan, Raus terkenal kerana mengarahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pihak polis supaya menangkap mualaf Mohd Ridhuan Abdullah kerana merampas anak perempuannya yang ketika itu berusia 11 bulan dalam kes penukaran agama secara unilateral yang melibatkan bekas isteri Ridhuan, M Indira Gandhi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS