Pakatan Harapan melahirkan kekesalannya terhadap tindakan speaker Dewan Rakyat yang menangguhkan sidang lebih awal dan tidak memberi laluan terhadap usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dibahas.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah berkata tindakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang pada jam 4 petang, sedangkan waktu lazim mesyuarat sehingga 5.30 petang, amat mengejutkan.
“Lagipun, untuk perkara penting seperti ini, dewan boleh saja bersidang sehingga lewat malam, contohnya, dewan bersidang sehingga hampir jam 5 pagi pada hari sebelumnya.
“Tindakan speaker ini menghina dewan. Ia juga menyebabkan perbahasan atas RUU355 tertangguh sekali lagi, iaitu kali ketiga.
“Ini membawa fitnah , iaitu seolah-olah mempermainkan RUU355,” kata bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu.
Pandikar semalam menggunakan kuasanya untuk menangguhkan sidang ke sesi selanjutnya pada 24 Julai ini.
Penangguhan itu mendorong anggota parlimen pembangkang bangkit mengecam keputusan itu kerana tidak diberi peluang membahaskannya.
Usul Hadi dibawa ke sidang pada jam 12 tengah hari dan disokong oleh Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang menyampaikan penjelasan panjang lebar.
Dalam kenyataan hari ini, Saifuddin juga berkata tidak timbul isu anggota parlimen HARAPAN cuba menghalang pindaan itu daripada dibentangkan.
Katanya, sebelum pembentangan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, anggota parlimen parti itu hanya membangkitkan soalan berkaitan peraturan mesyuarat kepada speaker.
“Ia bukan soalan kepada YB Marang (Hadi) atau RUU355. Ia soalan yang ditujukan kepada speaker,” katanya.
“Tiada anggota parlimen HARAPAN yang mencelah atau melakukan apa-apa yang boleh ditafsirkan sebagai menghalang ketika YB Marang membentangkan RUU355 dan ketika ia disokong oleh seorang lagi YB daripada PAS.”
Hormat hak Hadi
Saiffuddin justeru berkata HARAPAN menghormati hak Hadi untuk membawa usul persendirian dan membentangkannya.
“Tidak timbul isu anggota parlimen HARAPAN menentang RUU355 kerana ia belum pun dibahaskan lagi,” katanya.
Beliau berhujah, meminta penjelasan berkaitan kandungan usul, mencadangkan langkah lebih menyeluruh, menyoal peraturan mesyuarat dan menggunakan pendekatan maqasid shariah, tidak boleh dianggap menentang usul itu, menolak syariah atau menolak Islam.
HARAPAN menegaskan bahawa perjanjian parti-parti dalam gabungan itu yang mendukung Perlembagaan Persekutuan, termasuk Perkara 3, iaitu berkaitan kedudukan Islam.