Pemilihan MCA: Penyokong Liong Sik tubuh Kumpulan Wawasan
Pemilihan MCA bulan depan telah menyaksikan kemunculan "Kumpulan Wawasan" yang dianggotai oleh calon-calon yang merupakan penyokong kuat bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.
Pemilihan MCA bulan depan telah menyaksikan kemunculan "Kumpulan Wawasan" yang dianggotai oleh calon-calon yang merupakan penyokong kuat bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.
Mereka terdiri daripada Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Tan Chai Ho; Timbalan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim; Pengerusi MCA Perlis, Datuk Chor Chee Heung dan bekas Pengerusi Sabah, Datuk Chau Tet On.
Menurut sumber-sumber calon-calon berkenaan telah mewujudkan kelompok sesama mereka untuk mencerahkan lagi peluang mencapai kemenangan dalam pemilihan parti itu kelak.
Yang lain seperti Dr Fong Chan Onn, Ketua Pemuda Ong Tee Keat, Datuk Fu Ah Kiow dan Datuk Yap Pian Hon, dikatakan bersendirian dengan dua daripada mereka dikaitkan dengan presiden (Ong) dan timbalan presiden (Chan).
Menurut laporan Bernama, satu lagi perkembangan menarik menjelang pemilihan kali ini ialah keengganan Pengerusi MCA Perak, Datuk Ong Ka Chuan untuk bertanding jawatan naib presiden.
Beliau yang juga abang kepada presiden parti, enggan berbuat demikian kerana bimbang ia tidak digemari ahli akar umbi kerana ia boleh mendorong pengkritik mengecam kepimpinan sekarang manakala Datuk Ong Ka Ting akan dituduh cuba mewujudkan "Dinasti Ong" dalam MCA.
Usaha pujuk Dr Ting
Sementara itu, menurut Bernama , sumber dalaman parti itu berkata, beberapa rundingan telah diadakan untuk memujuk Setiausaha Agung parti itu, Tan Sri Dr Ting Chew Peh supaya tidak bertanding jawatan nombor dua.
"Kali terakhir rundingan dibuat minggu lalu apabila beberapa pemimpin veteran dihantar untuk memujuknya supaya tidak bertanding," kata sumber itu yang enggan namanya disiarkan.
Kebanyakan pemerhati kedudukan Timbalan Presiden Datuk Chan Kong Choy, boleh tergugat sekiranya Dr Ting bertanding jawatan tersebut dalam pemilihan bulan depan.
Sehingga kini, Ting yang dilantik sebagai setiausaha agung parti selama beberapa penggal sejak 1990, tidak mengesah atau menafikan laporan itu.
Sumber dalaman parti berkata memandangkan pelantikan setiausaha agung merupakan budi bicara presiden, maka tidak ada jaminan Dr Ting akan dicalonkan untuk menjalankan tugas itu selepas pemilihan parti kali ini.
Spekulasi mengatakan Ting yang mengekalkan jawatan pengerusi Bahagian Gopeng pada pemilihan parti peringkat bahagian Mei lalu, akan bertanding jawatan nombor dua atau sekurang-kurangnya satu daripada empat jawatan naib presiden.
Setakat ini, bekas Timbalan Ketua Pemuda MCA, Chan Tsu Yuen sudahpun mengumumkan beliau akan mencabar Chan bagi jawatan timbalan presiden.
Manakala pemilihan bagi jawatan presiden MCA akan menyaksi pertembungan antara penyandangnya Ong dan bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng.
Chua yang digugurkan daripada kabinet persekutuan tahun lalu, dilaporkan akan berhabis-habisan kali ini. Dan bagi membuktikan beliau serius, Chua mengeluarkan manifestonya sendiri untuk pemilihan itu.

