Istilah kesaksamaan gender sering disalah erti di Malaysia, dengan kebanyakannya berfikir bahawa ia adalah mengenai wanita mengambil alih peranan lelaki.
Malah lebih daripada itu, ada yang berfikir bahawa menggalakkan kesaksamaan gender bermakna berkempen memperjuangkan kebebasan seksual.
"Tugas saya mempromosi usaha mengarus perdanakan gender sebagai wadah untuk mencapai kesaksamaan gender di setiap kementerian di Malaysia yang sering dicabar oleh golongan lelaki dan wanita yang berfikir bahawa kesaksamaan gender bermakna seseorang wanita menjadi lelaki dan sebaliknya," kata pakar gender Prof Madya Dr Jamaluddin Aziz.
Apa yang dimaksudkan kesaksamaan gender pada dasarnya bermakna memberi peluang sama rata kepada lelaki dan wanita untuk mengakses sumber-sumber negara yang mempunyai nilai-nilai sama dalam masyarakat.
Manakala kesaksamaan gender adalah agenda global, rangka kerja Malaysia berpandukan perasaan dan sensiviti tempatan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Kesaksamaan gender tidak sepatutnya difahami sebagai suatu perkara berkaitan wanita sahaja, kerana ia melibatkan semua orang.
"Bagaimanapun, dalam kebanyakan budaya termasuk di Malaysia, mereka yang menentukan kesaksamaan itu biasanya adalah lelaki,” katanya.
Golongan lelaki, sebagai contoh adalah seorang bapa, ketua kampung, pemimpin agama mahu pun pemimpin lain mempunyai peranan penting dalam mencapai kesaksamaan gender.
"Mereka sepatutnya menjadi sebahagian daripada wacana dan usaha dalam menggalakkan kesaksamaan gender. Gaya bahasa yang digunakan untuk menolak agenda kesaksamaan gender perlu mengambil kira cara pemikiran golongan lelaki dalam memahami sesuatu perkara," katanya kepada Bernama baharu-baharu ini.
Perubahan aspek sosio-budaya
Jamaluddin, yang dilantik sebagai Pakar Gender pertama bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2015 hingga 2016, berkata struktur budaya dan sosial baharu yang menyokong kesaksamaan gender perlu diperkenalkan bagi mengurangkan kesan perubahan yang mungkin dibawa oleh
kesaksamaan gender terhadap kaum lelaki.
Jika golongan lelaki dibiarkan keliru mengenai peranan baharu gender mereka, akhirnya mereka mungkin tidak puas hati dengan perubahan peranan itu.
"Sudah tentu mudah untuk mengatakan bahawa lelaki juga mesti berani dan bersedia untuk menyokong perubahan itu. Bagaimanapun, amalan budaya ada kalanya boleh menindas kaum lelaki seperti juga terhadap wanita...," katanya.
Hanya 2 kesamaan gender
Profesor Madya, Media dan Kebudayaan, di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, di peringkat formal, Malaysia hanya mencapai dua kesamaan gender dalam Global Gender Gap Index, iaitu dalam pendidikan dan kesihatan.
Malaysia masih ketinggalan dari segi memperkasakan wanita dalam ekonomi dan politik.
"Pendek kata, kita berada di belakang negara-negara ASEAN yang lebih miskin termasuk Filipina dan Laos dari segi merapatkan jurang kesaksamaan gender. Di Malaysia, sebahagian daripada kita masih berada dalam penafian mengenai status ketidak samarataan gender.
"Setiap hari di Malaysia, laporan berita mengenai wanita menjadi mangsa dalam kes-kes berkaitan jantina termasuk keganasan rumahtangga, rogol, sumbang mahram, gangguan malah kenyataan seks telah menjadi suatu kebiasaan," katanya.
Isu kritikal tetapi remeh
Jamaluddin juga berkata diskriminasi berasaskan gender dan keganasan di Malaysia adalah isu-isu kritikal namun dilihat sebagai remeh kerana ia seringkali dibayangi penanda identiti lain yang lebih dominan seperti umur, bangsa dan kekurangan upaya seseorang.
Memandangkan isu-isu gender sering dikelirukan dengan orientasi seksual, rakyat Malaysia didapati lebih selesa bercakap mengenai pelbagai penanda identiti berkenaan termasuk kaum.
"Keganasan berdasarkan gender boleh berlaku terhadap mana-mana wanita dan ia berlawanan dengan stereotaip, namun wanita daripada kaum tertentu mungkin mengalaminya lebih kerap disebabkan amalan budaya yang mengetepikan wanita dalam budaya itu," katanya.
Di Malaysia, peningkatan kesedaran terhadap kesaksamaan gender terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Pembangunan Wanita, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Peranan pihak media
Jamaluddin mencadangkan pihak media membantu dengan menggalakkan identiti gender yang lebih positif agar golongan lelaki dapat mengenal pastinya, dengan menyediakan model-model baharu dan lebih dinamik berhubung kemaskulinan dan hubungan gender.
Beliau berkata sebagai sebuah masyarakat yang diilhamkan oleh visi Transformasi Nasional 2050 (TN50) itu, kemaskulinan dan rasa tidak selamat akan kedengaran seperti alasan untuk tidak mahu dewasa.
Pada 2016, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, mengumumkan bahawa kementerian akan berusaha mewujudkan Akta Kesaksamaan Gender.
Oleh kerana Malaysia adalah pihak kepada perjanjian antarabangsa mengenai hak-hak wanita seperti Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Akta Kesaksamaan Gender boleh dilihat sebagai satu cara untuk melaksanakan rang undang-undang antarabangsa bagi
wanita.
"Tahniah kepada kementerian kerana mengambil satu langkah ke arah yang betul. Mudah-mudahan, hak wanita dan kesaksamaan gender di Malaysia akan berdasarkan kepada standard antarabangsa," kata Jamaluddin.
Perjalanan Malaysia ke arah mencapai kesaksamaan gender masih jauh, bagaimanapun usaha dilaksanakan untuk mencapai wawasan itu.
- Bernama
