Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menahan 273 individu kerana menggunakan kad pengenalan palsu atau pengenalan milik orang lain sepanjang tahun lepas.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Yazid Ramli berkata kebanyakan mereka yang ditahan itu merupakan pekerja yang berasal dari Sabah dan bekerja di Perak, Pahang dan Johor.
Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati mereka berasal dari selatan Filipina, katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPN, di Putrajaya hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat.
Menurutnya, kesemua yang ditahan didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) kerana menggunakan kad pengenalan palsu atau menggunakan kad pengenalan milik orang lain.
Sementara itu, Masir, dalam ucapannya, meluahkan rasa bangga dengan kejayaan JPN menyampaikan perkhidmatan kepada 9.52 juta pelanggan tahun lepas dan 2.3 juta pelanggan pada tiga bulan pertama tahun ini.
Selain pelanggan individu, JPN juga menyediakan perkhidmatan rujukan, semakan dan pengesahan identiti kepada 179 organisasi sektor awam dan swasta melibatkan 166.1 juta data sepanjang tahun lepas, katanya.
- Bernama
