Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jutawan muda' PKR ditahan SPRM
Diterbitkan:  Apr 13, 2017 6:13 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly, ditahan Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lapor sebuah portal berita hari ini.

Memetik kenyataan sumber, laporan itu menyatakan Adam ditahan selepas beliau hadir untuk disoal siasat di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 2.30 petang tadi.

"Beliau dilihat dengan tangan bergari di lobi ibu pejabat SPRM kira-kira jam 4.10 petang sebelum dibawa ke lokasi lain," kata sumber itu dan disiarkan The Star Online.

Adam pada November tahun lalu menjadi perhatian apabila didedahkan memiliki kekayaan dianggap luar biasa oleh Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jamal menyewa sebuah helikopter untuk membawa wartawan melihat pemandangan banglo Adam dari udara. Kediaman itu didakwa Jamal bernilai RM7 juta.

Bagaimanapun Adam menafikan dakwaan itu dan berkata beliau membeli banglo berkenaan pada harga RM1 juta melalui lelongan.

Beliau juga mendakwa kekayaan itu diperoleh daripada perniagaan yang dijalankannya.

Laporan itu mendakwa, Adam dijangka ditahan semalaman dan mungkin SPRM akan mendapatkan perintah reman daripada mahkamah esok.

"SPRM menyiasat kes itu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," katanya.

Adam, 28, adalah pegawai khas Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Beliau hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM buat kali ketiga selepas melakukannya pada 10 dan 22 Februari lalu.

Lihat Komen
ADS