Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN maafkan Nanyang Siang Pau
Diterbitkan:  Apr 16, 2017 9:37 AM
Dikemaskini: 1:39 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima permohonan maaf daripada akhbar Nanyang Siang Pau ekoran penyiaran karikatur membabitkan pemimpin PAS dan speaker Dewan Rakyat baru-baru ini.

Justeru, timbalan menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata KDN tidak bercadang untuk mengambil tindakan lanjut ke atas akhbar berkenaan.

Bagaimanapun beliau mengingatkan akhbar terbabit supaya tidak mengulangi kesilapan berkenaan.

"KDN akan mengambil tindakan serius jika insiden begini berlaku lagi pada masa depan.

“Kita tak boleh melukakan perasaan orang dan kemudian meminta maaf begitu saja," katanya dipetik Nanyang Siang Pau di Gelang Patah, Johor.

Pada 8 April lalu akhbar itu menyiarkan karikatur bertajuk Akta Monyet memaparkan dua ekor monyet masing-masing memakai songkok dan serban.

Monyet bersongkok itu ditandakan sebagai speaker, manakala satu lagi dinamakan Hadi Awang. Kedua-dua mereka berada di sebatang pokok bernama Akta 355.

Kartun itu juga memaparkan sekumpulan monyet sedang bertekak di bawah pokok berkenaan.

Ia disiarkan dua hari selepas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membacakan usul persendiriannya bagi meminta Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pada 6 April.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, menangguhkan sidang selepas Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, berucap menyokong usul Abdul Hadi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS