Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Peniaga nafi tulis 'Najib, Rosmah pergi neraka'

Seorang peniaga yang didakwa menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor di Facebook telah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan itu.

Menurut kertas pertuduhan, Kum Eng Choon, 48 didakwa menulis "Kerajaan Sekarang p*** m**, Najib, Rosmah Pergi neraka" di laman Facebook beliau pada pukul 11.16 tengah hari pada 5 April.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Campbell di Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini, peniaga itu mendakwa beliau telah disekat menggunakan akaun Facebook sejak awal bulan ini.

Kum berkata beliau juga berada di pejabatnya di Klang pada masa yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan.

"Pertuduhan jenayah terhadap saya adalah berdasarkan laporan palsu. Saya mahu tindakan diambil terhadap orang yang membuat laporan palsu," katanya.

Sementara itu, peguam Kum, Lim Lip Eng berkata, mereka membuat laporan polis untuk membuktikan Kum mempunyai alibi dalam pembelaannya.

"Kami harus membuat permohonan yang diperlukan untuk memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau mempunyai alibi. Bukan dia (pelakunya), dia tidak berada di sini (di sekitar Dang Wangi sebagaimana yang dituduh).

"Dia telah disekat di Facebook sejak 30 Mac sehingga kini," kata Lim sambil menambah anak guamnya disekat menggunakan laman sosial itu selepas beberapa aduan dibuat terhadapnya.

Memang ada pegang sepanduk

Lim bagaimanapun mengesahkan Kum ada memegang sepanduk yang mengandungi perkataan yang sama seperti posting tersebut, semasa perhimpunan BERSIH 5 tahun lepas.

Sekeping gambar Kum berbuat demikian mula beredar di media sosial bulan ini.

Khamis lalu, Kum didakwa di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).

Di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga setahun penjara, denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Manakala seseorang yang didapati bersalah di bawah Seksyen 233 CMA menghadapi hukuman maksimum dua tahun penjara, denda atau kedua-duanya.

Kum boleh menghadapi sehingga tiga tahun penjara jika sabit kesalahan.

Lihat Komen
ADS