Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Air Kedah: MB, Jangan janji kosong, kata Johari Abdul
Diterbitkan:  Apr 17, 2017 1:48 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Ahli Parlimen PKR Datuk Johari Abdul membidas Menteri Besar Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang gagal menyelesaikan krisis masalah air yang membelenggu negeri itu sepanjang pemerintahannya.

“Walaupun awal bulan lalu, MB Kedah telah mengumumkan bahawa loji rawatan air Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Jabi, dijangka siap pada November nanti namun bagi saya itu tidak memadai selagi tidak ada jaminan bertulis dan lisan di DUN bagi meyakinkan rakyat.

“Rakyat Kedah sudah bosan dengan isu ketiadaan air yang membelenggu mereka selama ini dan apa yang lebih membimbangkan mereka adalah projek loji yang dijanjikan kerajaan negeri itu akan menjadi 'gajah putih' seperti kes loji insinerator di Langkawi yang bernilai hampir RM70 juta gagal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tahun lalu Bashah mencetuskan kemarahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) selepas mempersendakan cadangan dan aduan CAP bahawa kawasan tadahan air semakin berkurangan adalah akibat penebangan hutan.

Sebaliknya, beliau dilaporkan berkata sebagai sebagai kerajaan negeri, “kita tahu bagaimana untuk melakukan kerja kita, tidak perlu untuk mengajar kita apa yang perlu dilakukan."

Johari berkata adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.

Menurutnya, untuk sementara waktu, seharusnya kerajaan negeri perlu menyediakan langkah alternatif bagi jangka masa pendek sementara menunggu loji air tersebut siap.

“Bagi jangka masa panjang pula, kerajaan bersama SADA dan KETTHA (Kementeria Teknologi Hijau dan Air) perlu ada kertas projek pembangunan air negeri Kedah bagi merangka pelan pembangunan air untuk 10 tahun akan datang.

“Dokumen tersebut perlu dipaparkan kepada umum.,” katanya.

Anggota Parlimen Sungai Petanai itu berkata, satu jawatankuasa khas juga perlu diwujudkan untuk mendengar pandangan NGO, orang ramai serta pakar-pakar isu air dari universiti tempatan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Rakyat menaruh harapan yang tinggi agar masalah yang dihadapi mereka dan menggesa agar kerajaan Kedah memperuntukkan lebih banyak bajet bagi pembangunan air ini sekiranya mereka menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS